82 atau 99 kerusi DUN, GPS sedia hadapi PRN ke-13 – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
ABANG JOHARI bercakap pada sidang media majlis pecah tanah Hospital HMI Malaysia di Northbank, Kuching.

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tiada masalah sekiranya penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kepada 99 belum dapat diselesaikan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, jika proses penambahan 17 kerusi baharu itu belum selesai pada ketika PRN diadakan, pilihan raya boleh diteruskan menggunakan 82 kerusi sedia ada.

“Kalau hanya 82 kerusi, 82 lah. Kalau ada 99 kerusi, 99 kerusi lah. Tak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pecah tanah Hospital Health Management International (HMI) Malaysia di Northbank, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, PRN tidak semestinya menggunakan 99 kerusi sekiranya tempoh yang ada tidak mencukupi untuk menyelesaikan proses penambahan kerusi berkenaan.

“Tak semestinya kita mengundi kena pakai 99. Kalau masanya tak cukup selesaikan tambahan kerusi, tak apalah, apa kita boleh buat, pakai yang sedia ada sahaja,” ujarnya.

Oleh Masrin Affirah