BINTULU: Seramai 81 pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) menyertai misi sukarelawan Jiwa Putra bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Menurut kenyataan daripada UPMKB, misi yang berlangsung selama dua hari itu merupakan inisiatif Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UPM.
Berlandaskan semangat Jiwa Putra dan moto UPM, Berilmu Berbakti, program itu memberi peluang kepada mahasiswa untuk menzahirkan keprihatinan terhadap masyarakat.
Sepanjang misi tersebut, sukarelawan membantu membersihkan 13 rumah serta sebuah tadika yang terjejas akibat banjir.
Ia bukan sahaja meringankan beban mangsa, tapi juga memberi pengalaman bermakna kepada mahasiswa dalam mengamalkan nilai kemanusiaan dan kerja berpasukan.
Dalam kenyataan itu, Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB, Mohamad Syukri Mohamad Adnan berkata, program sedemikian bertujuan untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar serta menggalakkan penglibatan mereka dalam kerja kemasyarakatan.
“Sukarelawan bukan sekadar membantu mangsa banjir tetapi juga mengasah kemahiran kepimpinan dan nilai murni dalam diri pelajar.
“Kami berharap program sebegini dapat diteruskan bagi memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.
Salah seorang sukarelawan, Muhammad Hadif Husaini menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang bermakna.
“Melihat kegembiraan di wajah penduduk selepas menerima bantuan benar-benar memberi kepuasan kepada kami.
“Kami berharap lebih ramai pelajar akan turut serta dalam misi kesukarelawanan seperti ini pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, seorang guru tadika yang menerima bantuan menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada pasukan sukarelawan UPMKB.
“Kehadiran dan usaha gigih mereka sangat membantu dalam mempercepat kerja-kerja pembersihan.
“Bantuan ini amat bermakna bagi kami yang terkesan akibat bencana ini,” katanya.
Dengan adanya inisiatif seumpama itu, UPMKB terus komited dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat.
Oleh Carolyne Utih