
MATANG: Seramai 807 peserta Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Kelas B2 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong menjalani Latihan Amali Bahagian 2 dan Bahagian 3 (KPP02 dan KPP03) di pekarangan Masjid Al Abyad, Matang Jaya, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman hadir meninjau pelaksanaan latihan tersebut serta beramah mesra dengan para peserta yang mengikuti program berkenaan.
Menurut penganjur, kesemua peserta telah berjaya melepasi proses tapisan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta lulus Ujian Bahagian 1 (KPP01) yang diadakan pada 16 Mei lalu sebagai syarat untuk meneruskan ke peringkat latihan amali.


Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 merupakan inisiatif yang bertujuan membantu golongan layak memperoleh lesen memandu motosikal secara sah di samping meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dan pematuhan terhadap peraturan lalu lintas.
Turut hadir Penyelaras Program Bantuan Lesen JPJ Sarawak, Mohd Elly Arbi dan Pengurus Institut Memandu Cangiran, Chung Hui Min. Kerjasama antara JPJ Sarawak, wakil rakyat dan institusi memandu dilihat menjadi faktor penting dalam memastikan program tersebut berjalan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.
Oleh Shikin Mahmud