
PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan sejumlah 805,509 orang kurang upaya (OKU) berdaftar pada 2024, mewakili 2.4 peratus daripada jumlah penduduk negara, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Statistik Orang Kurang Upaya Malaysia 2024, yang diterbitkan hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata data itu menekankan kepentingan dasar dan polisi inklusif bagi memastikan hak dan peluang yang sama untuk semua rakyat Malaysia.
Beliau berkata dari aspek kebajikan, 262,618 OKU menerima manfaat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM1.1 bilion.
“Kategori bantuan terbesar ialah bantuan OKU tidak berupaya bekerja, melibatkan 120,844 orang. Ini diikuti oleh elaun pekerja OKU yang menyokong 106,055 orang dan bantuan penjagaan OKU terlantar atau penyakit kronik yang memberi manfaat kepada 34,476 orang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Uzir berkata pendapatan isi rumah yang mempunyai OKU turut meningkat, dengan pendapatan bulanan kasar isi rumah median bertambah daripada RM4,390 pada 2022 kepada RM5,104 pada 2024, manakala purata pendapatan kasar isi rumah naik daripada RM5,679 kepada RM6,540 bagi tempoh sama.
“Pada masa yang sama, perbelanjaan penggunaan bulanan isi rumah purata meningkat daripada RM3,974 pada 2022 kepada RM4,545 pada 2024,” katanya.
Mengikut kategori, ketidakupayaan pembelajaran mencatatkan bilangan tertinggi dengan 299,128 orang atau 37.1 peratus, diikuti ketidakupayaan fizikal sebanyak 286,634 orang atau 35.6 peratus, ketidakupayaan penglihatan pula berjumlah 68,665 orang atau 8.5 peratus manakala ketidakupayaan pertuturan merekodkan bilangan terendah iaitu 4,136 orang atau 0.5 peratus.
Dari segi pendidikan, bilangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) meningkat bagi semua peringkat pada 2024 berbanding 2023, dengan pertumbuhan 5.6 peratus di peringkat prasekolah, 11 peratus di peringkat rendah dan 4.6 peratus di peringkat menengah.
Mohd Uzir berkata dalam sektor awam, jumlah penjawat awam OKU meningkat kepada 4,209 orang pada 2024 berbanding 3,901 orang pada 2023, bersamaan peningkatan 7.9 peratus.
“Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 20.1 peratus daripada 169 orang pada 2023 kepada 203 orang pada 2024. Sabah mencatatkan peningkatan 17.2 peratus, manakala Kedah merekodkan peningkatan 13.2 peratus,” katanya.
Beliau berkata penyertaan sukan dalam kalangan OKU turut menunjukkan peningkatan positif dengan 97 atlet OKU direkodkan pada 2024, meningkat 36.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, terdiri daripada 76 lelaki dan 21 wanita.
-BERNAMA