
SIBU: Kira-kira 800 ekor anjing telah menerima suntikan vaksin menerusi Program Vaksinasi Anti Rabies anjuran Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu sepanjang penganjuran program tersebut tahun ini.
Presiden persatuan, Temenggung Datuk Vincent Lau Lee Ming berkata, setiap lokasi merekodkan jumlah yang berbeza dengan purata sekitar 100 ekor anjing menerima suntikan vaksin anti rabies pada setiap program.
“Walaupun tiada data rasmi mengenai jumlah keseluruhan populasi anjing di Sibu, kami percaya masih ramai pemilik yang belum membawa anjing mereka untuk divaksin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program kesembilan (program vaksinasi terakhir hari ini) di Taman Tasik Permai, hari ini.
Lau memberitahu, program vaksinasi dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada orang ramai atas sokongan mereka dalam memastikan anjing peliharaan divaksin bagi mencegah rabies.
Katanya, kesinambungan program ini pada tahun hadapan bergantung kepada kelulusan peruntukan kewangan daripada Pejabat Residen Bahagian Sibu.
“Setiap tahun, kita akan mengemukakan permohonan peruntukan kepada Pejabat Residen dan setakat ini mereka sentiasa memberi sokongan. Kita berharap sokongan ini dapat diteruskan pada tahun depan,” ujarnya.
Beliau berkata, program untuk tahun hadapan kemungkinan akan bermula sekitar bulan Mac, tertakluk kepada kelulusan bajet daripada pihak berkuasa berkaitan.

Dalam pada itu, beliau berkata program vaksinasi di setiap kawasan dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setempat yang turut membantu mengenal pasti lokasi yang sesuai.
“Kita berharap penduduk dapat mencadangkan lokasi yang strategik supaya program ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” jelasnya.
Lau turut menggesa pemilik anjing agar lebih bertanggungjawab dengan tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka bebas berkeliaran di jalanan kerana risiko jangkitan rabies adalah lebih tinggi.
“Jika anjing ini dijaga dengan baik di dalam kawasan rumah, risiko jangkitan rabies adalah lebih rendah. Ini adalah tanggungjawab pemilik demi keselamatan masyarakat,” tegasnya.
Walaupun jumlah kes gigitan anjing dilaporkan tidak tinggi, beliau percaya rabies merupakan penyakit yang sangat berbahaya dan boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.
Kita berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan vaksinasi dan tanggungjawab pemilik anjing untuk membawa haiwan peliharaan mereka mendapatkan suntikan vaksin,” tambahnya.
Program kali kesembilan ini turut mendapat kerjasama Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Sibu serta JKKK Jalan Oya Batu 2 – 6.
Oleh Akun Giman