JULAU: Seramai 80 warga pendidik menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi, integriti dan komitmen mereka dalam memperkasakan sektor pendidikan di daerah ini.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, pengiktirafan tersebut bukan diperoleh secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan, pengorbanan dan kecemerlangan yang dipamerkan sepanjang tahun lalu.
“Syabas dan tahniah yang tidak terhingga saya ucapkan kepada seramai 80 orang penerima APC pada hari ini.
“Kejayaan anda meraih anugerah ini bukanlah satu kebetulan mahupun hasil kerja sehari dua.
“Ia adalah bukti kukuh terhadap dedikasi, pengorbanan, integriti dan usaha berterusan yang telah anda curahkan sepanjang tahun 2025,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Julau, di sini, baru-baru ini.
Katanya, warga pendidikan di Daerah Julau berdepan pelbagai cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab, khususnya di kawasan luar bandar, namun kekangan tersebut tidak pernah menjadi penghalang untuk mencapai kecemerlangan.
“Mendidik dan mengurus pendidikan di kawasan luar bandar seperti di Julau mempunyai cabaran yang tersendiri.
“Namun, 80 orang wira dan wirawati yang diraikan hari ini telah membuktikan bahawa kekangan geografi bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan.
“Anda adalah teladan terbaik buat rakan-rakan sejawat yang lain,” katanya.
Tambahnya, pendidikan merupakan pelaburan paling penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat dan memacu pembangunan Daerah Julau.
“Di belakang setiap anak murid yang berjaya di Julau, adanya warga PPD yang merancang strategi, adanya pentadbir sekolah yang memimpin, dan adanya guru-guru serta anggota kumpulan pelaksana yang bekerja tanpa jemu.
“Pengorbanan anda semua amat saya hargai,” katanya.
Larry turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pembangunan kemudahan sekolah serta keperluan pendidikan di Daerah Julau melalui kerjasama erat antara PPD, sekolah dan wakil rakyat.
Katanya, usaha bersepadu itu penting bagi memastikan anak-anak Julau tidak tercicir daripada arus pembangunan negara dan terus menikmati akses kepada pendidikan yang berkualiti.
Oleh Earl Anek





