ASAJAYA: Para penjaja dan penduduk sekitar Asajaya khasnya penduduk Kampung Tambirat akan menikmati prasarana Pusat Penjaja Tambirat bernilai RM 7 juta yang akan dijadikan tapak untuk penduduk sekitar menjual barang makanan atau hasil pertanian mereka.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak merangkap Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Majlis Pecah Tanah semalam merupakan satu permulaan perancangan pembangunan khasnya dijalankan dalam kawasan Kampung Tambirat.
“Projek pembinaan pusat penjaja ini dijangka mengambil masa selama 12 bulan dan mula beroperasi pada hujung tahun hadapan,” katanya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu, pusat penjaja yang akan dibangunkan itu mampu memuatkan sehingga 80 gerai dan dibina di atas tanah yang berkeluasan kira-kira 2.56 ekar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pusat Penjaja Kampung Tambirat, Asajaya, semalam.
“Apa yang hendak kita lakukan hari ini adalah menyediakan satu prasarana ataupun pembangunan serta tapak yang sesuai untu para penjaja menjual pelbagai wadah dan hasil jualan mereka,” katanya.
“Kalau kita dapat lihat di sepanjang jalan di kawasan Kampung Tambirat terdapat banyak gerai yang didirikan oleh para penjaja dan hal ini telah mendatangkan kesesakan jalan raya disebabkan kereta pembeli yang diletak di tepi jalan,” ujarnya.
“Perkara ini telah sedikit sebanyak menghantui Majlis Bandaran Kota Samarahan (MBKS) kerana dengan pembangunan yang semakin pesat di kawasan ini telah menyebabkan jalan raya sibuk dengan kenderaan dan hal ini telah meningkatkan kadar kemalangan di kawasan tersebut,” tambahnya.
Bukan itu sahaja, dengan adanya jambatan Kota Samarahan yang sudah siap ini telah memudahkan perjalanan rakyat dari kawasan Kuching ke Sebuyau, Simunjan dan kawasan seterusnya dengan melalui Jalan Asajaya.
“Penggunaan Jalan Asajaya yang telah dijadikan jalan utama dan jalan perhubungan antara kawasan tersebut telah menyebabkan gerai-gerai di tepi jalan ‘tumbuh bak cendawan selepas hujan’,” katanya.
“Melihat keadaan seperti itu, kita telah merancang untuk mengadakan tapak seperti ini supaya kemudahan tempat meletakkan kenderaan, tempat berjual, tandas dan surau dapat disediakan dengan sempurna untuk kegunaan para penjaja dan pengunjung.
“Selain daripada itu, dengan adanya tapak jualan itu akan memudahkan masyarakat untuk mengadakan aktiviti jualan ataupun pameran makanan pada masa hadapan,” ujarnya.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ