KUCHING: Lebih 80 kontinjen terdiri daripada 2,500 peserta dari seluruh pelosok Sarawak dijangka hadir memeriahkan acara Perarakan Gawai bersempena sambutan Gawai Dayak 2023 peringkat negeri pada 17 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Utama sambutan Gawai Dayak 2023 peringkat negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perarakan sambutan Gawai Dayak bertemakan Segulai Sejalai pada tahun ini bakal menampilkan penyertaan daripada pelbagai suku etnik Dayak.
“Masing-masing mengenakan pakaian tradisi dan kita akan berarak sejauh 1.2 kilometer dari Bangunan Tun Jugah ke Tebingan Kuching bermula 3.30 petang.
“Kita juga mengalu-alukan penyertaan daripada suku kaum lain selain Dayak dalam perarakan ini yang akan turut menyaksikan penyertaan kontinjen Bujang Berani,” katanya.
Menurut Uggah yang juga Timbalan kepada Premier Sarawak, perarakan itu dijangka dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelasnya lagi, pada kali terakhir perarakan ini diadakan adalah pada 2018.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur Sambutan Gawai Dayak 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Selain perarakan, dua lagi acara utama bagi sambutan tersebut ialah Jamuan Malam Gawai Dayak dan Bazar Gawai Dayak.
Jamuan Malam Gawai Dayak katanya, akan berlangsung pada 7 Jun di BCCK dan dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut dijangka hadir ialah Premier Sarawak serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.
“Memandangkan hos bagi tahun ini adalah Iban, maka komponen kebudayaan utama adalah daripada komuniti Iban bersama dengan Dayak Cultural Foundation dan Majlis Seni Sarawak,” jelasnya.
Turut akan ditampilkan pada jamuan malam itu nanti, Perarakan Ratu Cantik yang terdiri daripada pemenang-pemenang pertandingan Kumang/Dayung Sangon/Keligit 2023 yang diadakan di pelbagai bahagian.
Empat wakil dipilih dari setiap komuniti bagi memperagakan keunikan dan kepelbagaian pakaian tradisi daripada pelbagai kumpulan etnik.
Sementara itu, satu lagi acara utama pada sambutan tahun ini, Bazar Gawai Dayak akan berlangsung dari 16 hingga 25 Jun di pekarangan Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Jalan Padungan di sini.
Jawatankuasa penganjur kata Uggah, menyasarkan 200 gerai akan dibuka merangkuki 100 gerai makanan bukan halal, 50 gerai makanan halal, 30 gerai kraf tangan dan 20 gerai lain.
Bazar Gawai Dayak ini akan dilancarkan pada 18 Jun dan dibuka kepada orang ramai dari 5.00 petang hingga 11.00 malam pada hari biasa dan 11.00 pagi hingga 11.00 malam pada hujung minggu.
Selain jualan makanan, minuman dan pelbagai produk lain, pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan, persembahan kugiran secara langsung dan artis tempatan, pertandingan Kumang dan Keling serta Gawai Idol.
Pada masa sama, Uggah turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas pemberian geran bagi menjayakan sambutan ini.