KUCHING: Belanjawan Negeri 2021 mempunyai lapan pendekatan utama bertujuan memacu serta menghidupkan semula aktiviti ekonomi ke arah pemulihan dan pertumbuhan mampan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, lapan pendekatan utama tersebut ialah memacu pemulihan ekonomi, memastikan ke- sejahteraan rakyat,memastikan keselamatan makanan dan transformasi pengeluaran makanan, memperkukuhkan keselamatan sosial, memajukan ekonomi digital, membangunkan sumber manusia, mempromosikan kelestarian alam sekitar dan memperkukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Belanjawan ini akan terus menjadi belanjawan pengembangan bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19 pada masa sama memastikan pertumbuhan sosioekonomi yang seimbang antara bandar dan luar bandar sesuai dengan temanya ‘Mengaktifkan Semula Ekonomi ke arah Masyarakat Berdaya Tahan, Penyayang dan Inklusif’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak 2021 pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Kelapan Belas di sini, semalam.
Tambahnya, empat fokus Belanjawan Negeri 2021 ialah menumpukan pembangunan, lebih kepada pembangunan luar bandar, menyediakan ruang dan peluang bagi pemulihan ekonomi dan menambah baik kehidupan lestari.
“Falsafah kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) ialah meneruskan usaha membangunkan negeri Sarawak tanpa seorang pun yang akan dipinggir.
Setiap rakyat Sarawak tidak kira di mana berada, seharusnya dapat menikmati hasil-hasil pembangunan.
Ini tanggungjawab pentadbiran saya, mewujudkan persekitaran membolehkan rakyat menikmati hasil-hasil pembangunan,” ujarnya.
GPS komited sepenuhnya menjaga Sarawak dan melindungi Sarawak daripada elemen tidak bertanggungjawab.
“Tahun 2021 menandakan bermulanya pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan bagi mencapai aspirasi Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030 hala tuju dan tujahan pembangunan strategik dirumus dengan mengambil kira Strategi Pemulihan Ekonomi 2030 pasca Covid-19.
“Keutamaan pentadbiran saya ialah menyediakan bantuan dan sumber tambahan termasuk rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19, mempercepatkan pembangunan di kawasan bandar serta luar bandar pada masa sama memperkukuhkan infrastruktur juga utility,” katanya.
Sehubungan itu, pendekatan ini jelas akan membolehkan kerajaan negeri membina masyarakat berdaya tahan, memperkukuhkan keterangkuman sosial dan memantapkan lagi kelestarian alam sekitar.