
JAKARTA: Lapan orang ditemukan lemas selepas sebuah kapal karam di Sungai Mahakam di wilayah Kalimantan Timur, Indonesia, kata Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) wilayah itu, Dody Setiawan pada Khamis, lapor Xinhua.
Insiden berlaku pada Isnin ketika kapal berkenaan yang membawa 28 orang, termasuk tiga kru karam di kawasan hulu sungai di Kabupaten Kutai Barat, katanya.
Seramai 20 orang terselamat, manakala lapan lagi pada awal dilaporkan hilang.

Sebelum tengah malam Rabu, pasukan penyelamat berjaya mengesan mayat terakhir lapan mangsa hilang itu terapung di sungai.
“Operasi mencari dan menyelamat terus dilancarkan, meliputi sehingga 15 kilometer ke hilir, membabitkan 50 anggota penyelamat.
“Sekitar 11.50 malam waktu tempatan pada Rabu, semua lapan mangsa yang hilang ditemukan maut,” kata Dody kepada Xinhua melalui telefon.
Beliau berkata arus deras dan muatan berlebihan dipercayai menjadi punca tragedi itu.
Kapal berkenaan sedang membawa muatan simen ketika kejadian berlaku.- Bernama-Xinhua