


KAHERAH: Jumlah korban akibat runtuhan sebuah bangunan kediaman lima tingkat di Wilayah Giza, selatan Kaherah meningkat kepada lapan orang, lapor Xinhua memetik portal berita milik kerajaan Mesir, Ahram Online pada Khamis.
Menurut laporan itu, pasukan penyelamat menemukan mayat mangsa terakhir yang dilaporkan hilang selepas dua hari operasi pencarian dan pengalihan runtuhan dijalankan secara berterusan.
Kejadian berlaku lewat Selasa di kawasan Imbaba, sebuah kejiranan padat penduduk di Wilayah Giza dan turut mengakibatkan kerosakan pada beberapa bangunan berhampiran.
Bangunan terjejas telah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga sementara menunggu penilaian keselamatan.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Wilayah Giza, pihak berkuasa memaklumkan kerja-kerja pengalihan runtuhan dilakukan secara manual berikutan keadaan jalan yang sempit di lokasi kejadian, sekali gus menghalang penggunaan jentera berat.
Sebuah jawatankuasa kejuruteraan khas ditugaskan untuk menyiasat punca kejadian, termasuk kemungkinan bangunan diubah suai tanpa kelulusan atau melanggar peraturan pembinaan.- Bernama-Xinhua