Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • 79 kes rasuah libat warga PDRM, isu integriti terus jadi perhatian – KPN
  • NASIONAL

79 kes rasuah libat warga PDRM, isu integriti terus jadi perhatian – KPN

Utusan Sarawak 5 hours ago
KETUA Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menyampaikan amanat pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Sambutan Bulan Integriti Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2025 di Maktab PDRM, Cheras hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 79 daripada 1,022 kes rasuah yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Januari hingga September tahun ini adalah melibatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Beliau berkata hal itu sekali gus menunjukkan isu integriti dalam pasukan berkenaan masih memerlukan perhatian dan tindakan berterusan.

Perkara itu, katanya menjadi peringatan penting agar warga PDRM terus memperkukuh budaya integriti serta meningkatkan pengawasan dalaman bagi memastikan pasukan kekal bebas daripada salah laku dan pelanggaran etika perkhidmatan.

KETUA Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail (tengah) bergambar bersama selepas menyampaikan surat penghargaan tolak rasuah dan Anugerah Integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada 49 pegawai dan anggota polis pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Sambutan Bulan Integriti Peringkat PDRM 2025 di Maktab PDRM, Cheras hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (lima, kiri). Foto BERNAMA

“Sebagai agensi penguat kuasa utama negara, menjadi tanggungjawab kita memastikan integriti sebagai teras utama dalam setiap tindakan dan keputusan,” katanya pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Sambutan Bulan Integriti Peringkat PDRM 2025 di Maktab PDRM di sini hari ini.

Mohd Khalid berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) turut merekodkan 1,523 kertas siasatan tatatertib yang telah dibuka atas pelbagai kesalahan termasuk 47 kes melibatkan rasuah.

Beliau berkata seiring dengan dasar negara, PDRM komited dalam pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS-PDRM) yang berpaksikan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) sebagai panduan untuk memperkukuh integriti, tatakelola dan usaha pembanterasan rasuah dalam pasukan.

“Saya menyeru semua jabatan dan formasi berganding bahu dalam usaha ini bagi memastikan strategi pembanterasan rasuah PDRM dapat dibangunkan dengan komprehensif, tersusun dan berkesan.

“Marilah kita terus memperkukuh mekanisme pencegahan, pengawasan pematuhan dan pembudayaan nilai integriti di setiap lapisan organisasi, kita harus bersama melindungi imej pasukan daripada pengaruh negatif yang mencemarkan nama baik PDRM,” katanya.

KETUA Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail (dua, kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada Sarjan Johnney Ambrose (kanan) pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Sambutan Bulan Integriti Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2025 di Maktab PDRM, Cheras hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (kiri). Foto BERNAMA

Pada majlis sama, Mohd Khalid merakamkan penghargaan kepada JIPS serta jabatan terlibat atas kejayaan PDRM meraih Anugerah Perak dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 yang diumumkan pada 22 Okt lepas.

Beliau berkata kejayaan itu membuktikan PDRM berada di landasan tepat dalam memperkukuh dasar, pematuhan standard serta mempergiat inisiatif pembudayaan integriti dalam kalangan warga pasukan.

Terdahulu, Mohd Khalid menyampaikan Sijil Pengiktirafan Tolak Rasuah kepada 41 pegawai dan anggota polis serta Anugerah Integriti kepada lapan pegawai polis yang menunjukkan keteguhan prinsip menolak rasuah, walaupun ditawarkan sogokan antara RM200 hingga RM250,000.

“Anda semua adalah model peranan yang perlu dicontohi, semoga pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi penyuntik semangat kepada penerima tetapi juga sumber inspirasi kepada seluruh warga PDRM untuk terus meletakkan integriti dalam setiap tindakan dan keputusan,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Sultan Pahang, Tengku Ampuan zahir ucapan tahniah kepada Premier Sarawak
Next: PRN Sabah: Warisan tanding di semua 73 kerusi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.