
BETONG: Seramai 78 peserta menyertai Program Ceramah Pencegahan Jenayah Komersil dan Penipuan Dalam Talian (Scammer) sempena Minggu Transformasi Siswa Politeknik Betong bagi meningkatkan kesedaran terhadap ancaman jenayah komersil yang semakin membimbangkan.
Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong, program anjuran Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) IPD Betong itu diadakan di Dewan Seminar Politeknik Betong dan disampaikan oleh Inspektor Ahmad Fahmi Khufadli dengan dibantu Sarjan Norfariza Mohamed Usup serta Koperal Rozelind Wahit.
Sepanjang ceramah, peserta didedahkan mengenai trend terkini jenayah komersil, khususnya penipuan dalam talian, termasuk isu keldai akaun, implikasi penyalahgunaan akaun bank serta tindakan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap individu yang terlibat.
Selain itu, peserta turut diperkenalkan dengan pelbagai inisiatif dan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), termasuk Portal Semak Mule (CCID Check), E-Book Jenayah Komersil, platform media sosial rasmi JSJK serta aplikasi Whoscall yang boleh membantu orang ramai mengenal pasti panggilan mencurigakan.
Penerangan turut diberikan mengenai fungsi National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 sebagai saluran penting bagi membolehkan mangsa penipuan membuat laporan dan mendapatkan tindakan segera.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta mengenai modus operandi jenayah komersil, memupuk kesedaran agar tidak mudah terpedaya dengan penipuan dalam talian serta menggalakkan penyebaran maklumat berkaitan saluran bantuan dan platform pencegahan kepada keluarga serta masyarakat.
Sepanjang program berlangsung, peserta memberikan sambutan menggalakkan dengan mengemukakan pelbagai soalan serta berkongsi pengalaman berkaitan jenayah komersil.
Perkongsian E-Book JSJK melalui kod QR turut dilaksanakan bagi memudahkan peserta mendapatkan bahan rujukan berkaitan langkah-langkah pencegahan.
Secara keseluruhannya, program tersebut berjalan lancar dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dalam usaha memperkukuh kesedaran masyarakat, khususnya golongan mahasiswa, terhadap ancaman jenayah komersil serta memperkasakan budaya pencegahan jenayah dalam komuniti.
Oleh Adi Safarman