
BINTANGOR: Seramai 76 warga pendidikan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), sementara 16 lagi diraikan sebagai pesara dalam majlis anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong.
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 dan Majlis Jasamu Dikenang 2025 tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, majlis ini bukan sekadar rutin tahunan, sebaliknya manifestasi penghargaan terhadap dedikasi, integriti dan komitmen warga pendidikan yang sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangan.
“Kecemerlangan pendidikan hari ini lahir daripada kesungguhan guru dan pemimpin sekolah. Penganugerahan ini bukan sahaja simbol penghargaan, malah menjadi cabaran dan inspirasi untuk terus memperkasa kualiti pengajaran serta pembelajaran,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, bertempat di salah sebuah hotel di Sibu, baru-baru ini.

Tambahnya, pengiktirafan yang diberikan kepada warga pendidik adalah dorongan agar mereka terus memberi sumbangan cemerlang dalam melahirkan generasi masa depan yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Koung Hiing turut menzahirkan penghargaan kepada para pesara yang diraikan.
“Jasa mereka dalam mendidik anak bangsa adalah legasi yang akan terus kekal dalam sejarah pendidikan negara.
“Meskipun telah bersara, para pesara masih mampu menyumbang kepada masyarakat dengan kepakaran dan pengalaman luas yang dimiliki sepanjang perkhidmatan,” katanya.
Katanya lagi, guru dan warga pendidikan adalah nadi utama pembangunan negara kerana murid merupakan generasi penerus bangsa, manakala pendidikan pula menjadi teras kepada masa depan negara.
“Kita mesti bersedia menghadapi cabaran abad ke-21 termasuk transformasi digital, inovasi pedagogi dan peningkatan jangkaan masyarakat terhadap sistem pendidikan,” katanya.
Beliau turut memberi penekanan terhadap isu buli yang semakin membimbangkan.
“Ia semakin membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan diri serta masa depan murid.
“Justeru, guru, pemimpin sekolah, ibu bapa dan masyarakat perlu menjadikan sekolah sebagai zon selamat dengan membudayakan kasih sayang, hormat dan empati agar murid berkembang dalam suasana positif,” katanya.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Sharifah Idawati Wan Ahmad dan Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Meradong, Zamerenne Ruin.
Oleh Earl Anek