MANILA: Sekurang-kurangnya orang 76 maut, manakala puluhan ribu lagi hilang tempat tinggal akibat Ribut Tropika Trami membadai di kawasan utara Filipina, semalam.
Susulan kejadian itu, penduduk terpaksa menggunakan penyapu dan penyodok bagi membersihkan sisa-sisa yang ditinggalkan akibat ribut berkenaan.
Anggota pasukan penyelamat dilaporkan terpaksa menyusuri lumpur tebal bagi mencari mangsa yang masih hilang akibat bencana banjir.
Banjir melanda akibat menerima kadar jumlah hujan yang kebiasaannya berlaku untuk tempoh dua bulan, namun ia berlaku dalam tempoh dua hari sahaja.
Ketua Polis Wilayah Bicol, Andre Dizon, berkata masih ramai lagi mangsa yang terperangkap di bahagian bumbung rumah dan mereka perlu diselamatkan.
“Kami berharap banjir akan surut pada hari ini (semalam) memandangkan hujan sudah berhenti,” katanya.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, berkata masalah akses menjadi cabaran utama bagi anggota pasukan keselamatan menjalankan tugas di Bicol.
“Itu adalah masalah utama pasukan keselamatan di Bicol, mereka sukar untuk memasuki kawasan berkenaan.
“Struktur tanah sangat basah menyebabkan berlaku tanah runtuh di kawasan yang sebelum ini tidak pernah berlaku bencana terbabit,” katanya.
Menurut wartawan AFP, di bandar Laurel di selatan Manila, keadaan jalan raya tersekat akibat pokok tumbang, kenderaan separuh tenggelam dalam lumpur dan rumah penduduk yang rosak teruk akibat banjir kilat.
Penduduk Laurel, Mimie Dionela, 56, berkata beliau melihat mesin basuh, kereta, peralatan rumah dan bumbung rumah di bawa arus akibat banjir berkenaan.
“Kami bernasib baik hujan berlaku pada waktu pagi, sudah pasti ramai yang akan mati jika berlaku pada waktu malam. Tidak dapat digambarkan betapa takutnya kami,” katanya.
Islao Malabanan, 63, pula mengakui kejadian banjir berlaku pada waktu pagi menyelamatkan nyawanya serta keluarga, bagaimanapun mereka kehilangan segala-galanya termasuk pakaian.
Jona Maulion, 47, yang memulakan perniagaan membaiki kenderaan di Laurel kurang dari setahun yang lalu, tertanya-tanya sama ada dia sekeluarga mampu untuk memulakan semula perniagaannya itu.
“Kami ingat kami akan berjaya dalam perniagaan, tetapi kami tidak menyangka perkara ini akan berlaku,” katanya. – AFP