
LAWAS: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas telah melaksanakan Latihan Gemparan Api bagi Tahun 2026 pada hari ini bertempat di Padang Kawad IPD Lawas yang dijadikan sebagai kawasan berkumpul.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan memberitahu program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 10.30 pagi itu diselaraskan oleh Ketua Bahagian Pengurusan Daerah (KBPD) Lawas, Inspektor M. R. Farith Erwandy.
“Latihan tersebut melibatkan seramai 75 peserta yang terdiri daripada 11 Pegawai Kanan Polis (PKP), 63 Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam Polis (PRP/PAP).

Senario latihan mensimulasikan kejadian kebakaran di Bilik Server TSM, Bahagian Logistik dan Teknologi IPD Lawas yang mengakibatkan seorang pegawai awam, Muhammad Shahrul Mohd Harris, terperangkap di Pejabat Bahagian Pengurusan. Sebaik siren kecemasan dibunyikan, semua warga IPD Lawas bertindak mengosongkan bangunan dan berkumpul di kawasan Assembly Point mengikut prosedur yang telah ditetapkan, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Lawas yang tiba di lokasi telah mengambil maklumat berkaitan kejadian sebelum melaksanakan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap.
Mangsa berjaya diselamatkan dan latihan pengungsian bangunan diselesaikan dengan lancar.

Seterusnya, pihak bomba mengadakan demonstrasi penggunaan alat pemadam api sebagai pendedahan praktikal kepada warga IPD Lawas mengenai teknik pemadaman kebakaran yang betul.
Dalam sesi maklum balas selepas latihan, pihak bomba menekankan kepentingan memastikan laluan kecemasan sentiasa bebas daripada halangan, melaksanakan penyelenggaraan berkala terhadap sistem pencegahan kebakaran serta memastikan semua alat pemadam api berada dalam tempoh sah penggunaan dan sentiasa dalam keadaan baik.
“Pelaksanaan latihan ini bertujuan menguji keberkesanan Pelan Tindakan Kecemasan IPD Lawas, melatih penghuni bangunan bertindak secara pantas dan teratur semasa kecemasan, meningkatkan pengetahuan mengenai prosedur pengungsian dan penggunaan alat pemadam api.
Selain itu ianya turut memperkukuhkan kerjasama antara IPD Lawas dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta mengenal pasti sebarang kelemahan dalam prosedur sedia ada untuk tujuan penambahbaikan pada masa hadapan, ” tambahnya.
Secara keseluruhannya, latihan gemparan api ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga IPD Lawas dalam menghadapi sebarang insiden kebakaran atau kecemasan.
Turut hadir menjayakan latihan tersebut, tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas yang diketuai oleh PBK I Abdul Naziem Abdul Aziz selaku penyelia.
Oleh Adeng Edrus