

CELIK SURI….Peserta belajar mengendalikan kebakaran dapur memasak semasa latihan Celik Suri. Foto BBP Bintangor
JULAU: Program kesedaran keselamatan kebakaran di Rumah Jana, Batu Matop berjaya menarik penyertaan seramai 75 penduduk, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program bertujuan memberi pendedahan terhadap langkah keselamatan asas serta tindakan awal yang perlu diambil sekiranya berlakunya kecemasan kebakaran di kediaman.
“Sesi ceramah dan demonstrasi tersebut dikendalikan oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Bakar Ujang dan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Danny Ajah Benard.
“Program seperti ini penting bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat berhubung risiko kebakaran terutamanya di rumah panjang.
“Kami mahu penduduk lebih peka terhadap aspek keselamatan kebakaran dan mengetahui tindakan awal yang betul untuk mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


FOKUS….Latihan menggunakan alat pemadam api menggunakan cara betul di Rumah Jana, Batu Matop, semalam. Foto BBP Bintangor
Tambahnya, antara pengisian program adalah ceramah kesedaran keselamatan kebakaran dan latihan praktikal menggunakan alat pemadam api bagi memberi pengalaman sebenar kepada peserta.
“Latihan Celik Suri turut diadakan bagi memberi panduan dan tatacara pengendalian kebakaran melibatkan dapur memasak, memandangkan ia sering menjadi punca kebakaran di rumah panjang.
“Kerjasama dan komitmen penghuni rumah panjang sepanjang sesi latihan amat memberangsangkan dan membantu menjayakan program tersebut,” katanya.
Katanya, usaha mendekati komuniti luar bandar seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat pendedahan mengenai aspek pencegahan kebakaran.
Oleh Earl Anek