
BINTANGOR: Seramai 75 ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di kawasan Tulai telah menerima Warta Rizab Komunal Bumiputera yang telah diwartakan dibawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN).
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata pewartaan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Sarawak untuk memastikan keadilan pemilikan tanah kepada masyarakat asal serta pemeliharaan tanah adat secara lestari.
“Pengiktirafan dan pemberian surat hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) adalah satu perkara yang dekat di hati rakyat.
“Jadi, kerajaan telah mengkaji kaedah bagi mempercepatkan proses penyukatan pengukuran tanah NCR supaya pemilik tanah NCR mempunyai dokumen pemilikan tanah, sempadan tanahnya yang jelas dan tanahnya tidak akan diceroboh.
“Oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan Program Pengukuran Tanah NCR pada 2010,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera bertempat di Dewan Masyarakat Meradong, semalam.

Katanya, program tersebut dilaksanakan secara dua peringkat.
“Peringkat pertama, pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 KTN sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian).
“Pada peringkat kedua pula, pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN akan dilaksanakan,” katanya.
Tambahnya, pengukuran tanah NCR hanya dilaksanakan setelah menerima permohonan dari penuntut tanah NCR.
“Permohonan yang dihantar akan disemak berdasarkan perundangan dan bukti yang sahih sebelum diluluskan untuk disukat.
“Mana-mana yang masih melibatkan pertikaian dan perbicaraan di mahkamah, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan melainkan kes tersebut telah ditarik balik. Penuntut perlu memohon semula untuk penyukatan tanah NCR ini,” katanya.
Katanya, setakat 30 Jun 2025, sebanyak 101,903 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 121,733 hektar (300,802 ekar).
“Sebanyak 32,614 lot telah dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri yang berkeluasan 44,828 hektar (110,770 ekar).
“Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu ini kita akan teruskan selagi ia diperlukan dan kerajaan menjamin hak rakyat terhadap tanah NCR ini.
“Asalkan penuntut tanah NCR dapat membuktikan ia sahih mengikut perundangan. Penyukatan tanah NCR ini tidak mengenakan apa-apa caj bayaran pun, semuanya adalah percuma,” katanya lagi.
Jelasnya, kerajaan akan keluarkan surat hak milik tanah dibawah seksyen 18 KTN yang mana ia tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan premium, tempohnya pegangnya kekal.
“Inilah komitmen dan janji kerajaan. Semua ini adalah untuk kepentingan rakyat,” katanya lagi.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing; Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sarikei, Sr Awan Amal; Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin; wakil Pegawai Daerah Meradong, Ting Kai Siang; Pemangku Pegawai Daerah Sarikei, Ainur Yazmin Zaini dan Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering.
Oleh Earl Anek