75 emas sasaran Sarawak pada SUKMA ke-22

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22, Selangor 2026 di sebuah hotel hari ini. Foto Nadya Victoria

KUCHING: Kontinjen Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya 75 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos ini dalam usaha memburu kejuaraan keseluruhan temasya berkenaan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan analisis terhadap potensi kontinjen Sarawak, namun kutipan lebih tinggi sudah pasti menjadi sasaran terbaik untuk memastikan Sarawak berada di kedudukan teratas.

“Kita telah membuat analisis dan kalau kita dapat 75 pingat emas, insya-Allah kita boleh menjadi juara. Tapi mestilah kalau dapat lebih daripada itu, lagi bagus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22, Selangor 2026, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, tiada sasaran emas ditetapkan secara khusus mengikut sukan bagi mengelakkan perkara itu melemahkan semangat pasukan atau atlet dalam sukan yang tidak disebut.

Sebaliknya, beliau berharap setiap sukan yang disertai Sarawak mampu menyumbang pingat emas, termasuk daripada acara yang mungkin tidak dijangka mampu menghasilkan kejayaan.

“Saya harap setiap kategori sukan dapat mengeluarkan emas, termasuk sukan-sukan yang mungkin kita tidak sangkakan.

“Saya suka kejutan dan kita mengharapkan pingat emas daripada atlet walaupun kita tidak menjangkakan mereka mampu melakukannya,” ujarnya.

Menurutnya, pingat emas menjadi penentu utama kedudukan keseluruhan SUKMA kerana sekiranya jumlah emas antara kontinjen adalah sama, kedudukan seterusnya akan ditentukan berdasarkan jumlah pingat perak.

“Untuk SUKMA, sama ada kita menjadi juara keseluruhan ataupun tidak, yang dilihat adalah emas dahulu. Kalau emasnya sama jumlah, nombor satu dan nombor dua, baru dilihat perak. Jadi, emaslah yang amat penting sekali,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata pengumuman mengenai insentif kepada atlet Sarawak hanya akan dibuat selepas SUKMA ke-22 berakhir.

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan atlet bertanding demi kecemerlangan diri dan kejayaan Sarawak, bukannya semata-mata mengejar ganjaran kewangan.

“Insentif kita hanya akan umumkan selepas habis SUKMA. 

“Kita mahu atlet itu bersaing bukan untuk duit, bukan untuk insentif, tetapi lebih kepada kecemerlangan diri dan juga untuk mendapatkan kejuaraan untuk Sarawak. Kita tidak akan melupakan mereka,” jelasnya.

Mengulas kadar insentif, Abdul Karim berkata perkara itu masih dalam penelitian dan berkemungkinan lebih tinggi, lebih rendah atau dikekalkan pada kadar sedia ada.

Sementara itu, Abdul Karim berkata cadangan pembinaan velodrom di Sarawak kini masih di peringkat awal dengan lokasi pembinaannya sudah dikenal pasti di sekitar kawasan kompleks sukan.

Katanya, telah dua kali membentangkan cadangan berkenaan dan pembinaannya berkemungkinan dipertimbangkan selepas Sukan SEA.

Menurutnya, velodrom tersebut akan dibina mengikut standard antarabangsa yang diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi membolehkan Sarawak menganjurkan pertandingan berbasikal bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.

“Tidak guna kita bina velodrom tetapi tidak boleh digunakan untuk pertandingan antarabangsa. 

“Ia akan menjadi antara kemudahan sukan yang sangat kita banggakan dan membolehkan kita membawa kejohanan antarabangsa atau perlumbaan berbasikal ke Sarawak,” katanya.

Oleh Adele Rissa

Kai Wun-Roy King juara Masters Korea

KUALA LUMPUR: Strategi Malaysia dalam acara beregu lelaki membuahkan hasil apabila pasangan Tee Kai Wun-Yap Roy King muncul juara Masters