

KUALA LUMPUR: Sebanyak 744 peserta Malaysia My Second Home (MM2H) telah membeli rumah di negara ini menerusi program berkenaan setakat 31 Disember 2025, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata daripada jumlah itu, peserta dari 10 negara tertinggi yang telah membeli rumah di Malaysia di bawah program MM2H terdiri daripada warga China sebanyak 304 orang, diikuti Taiwan (91), Singapura (63), Amerika Syarikat (41), United Kingdom (40), Hong Kong (34), Australia (29), Bangladesh (19), Korea Selatan (15) serta Indonesia dan Jepun, masing-masing 14 orang.
“Sebanyak 2,637 peserta MM2H lagi masih dalam proses pembelian rumah termasuk memuktamadkan perjanjian jual beli dan mengenal pasti lokasi rumah yang sesuai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) yang ingin tahu statistik dan jumlah terkini rumah yang telah dijual kepada warga asing melalui program MM2H bermula 2023 hingga 2025 mengikut kategori negara asal mereka serta jumlah yang telah mendapat kewarganegaraan.
Menjawab mengenai isu kewarganegaraan, Tiong menjelaskan program MM2H tidak pernah menawarkan kewarganegaraan atau status pemastautin tetap (PR) kepada peserta.
Sebaliknya, beliau berkata program itu adalah pas lawatan sosial jangka panjang yang disertakan dengan kemudahan visa masuk berulanguntuk membolehkan warga asing menetap di Malaysia bagi tempoh antara lima hingga 20 tahun, meliputi empat kategori utama iaitu Platinum bagi tempoh 20 tahun, Gold (15 tahun), Silver (lima tahun) dan Zon Ekonomi Khas (10 tahun).
“Tempoh pengendorsan pas bagi semua kategori adalah lima tahun bagi setiap sesi dan peserta boleh memperbaharui sehingga tamat tempoh kategori masing-masing. Peserta juga dibenarkan membuat lanjutan setiap lima tahun sekiranya masih berminat,” katanya.
Dalam pada itu, Tiong berkata program MM2H turut dibuka kepada pemohon seluruh dunia dan tidak terhad kepada negara tertentu seperti China atau Taiwan.
Beliau berkata penyertaan daripada Asia Barat juga dibenarkan, namun jumlah permohonan MM2H daripada negara berkenaan tidak begitu besar.
Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan mempergiat usaha promosi dan penjenamaan program MM2H di lebih banyak negara, khususnya di rantau Timur Tengah bagi memperluas penyertaan antarabangsa dalam program berkenaan. – Bernama