

PENGISIAN AKTIVITI… Antara pengisian aktiviti yang dijalankan di SJKC Nan Chiew, semalam. Foto BBP Bintangor
BINTANGOR: Seramai 74 peserta terdiri daripada 60 murid, 13 guru dan seorang kakitangan sokongan menyertai ceramah keselamatan kebakaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Chiew, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program tersebut bermula 9.10 pagi hingga 11.25 pagi.
“Seramai enam anggota bomba mengendalikan program ceramah keselamatan kebakaran.
“Turut dijalankan adalah latihan pengungsian bangunan dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api (APA),” katanya ketika dihubungi.
Katanya, program tersebut diadakan bagi memberi pendedahan awal kepada warga sekolah tentang kepentingan mengetahui langkah keselamatan kebakaran.
“Ilmu keselamatan ini amat penting kerana ia dapat menyelamatkan nyawa serta mengurangkan risiko panik sekiranya berlaku kecemasan.
“Pendedahan awal juga membantu murid lebih bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Oleh Earl Anek