
SIBU: Seramai 723 penerima bantuan kebajikan beragama Islam di Bahagian Sibu menerima sumbangan perayaan menerusi Program Sejambak Kasih Hari Raya anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, setiap penerima menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 serta hamper bernilai RM80 seorang.
“Bagi penerima yang tidak dapat hadir ke majlis penyampaian ini, sumbangan wang tunai akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Hari Raya yang diadakan di sini, hari ini.
Menurutnya, program berkenaan bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan agar mereka turut dapat merasai kegembiraan menyambut Hari Raya.
Mohammad Razi menambah seramai 5,670 individu di Sibu kini menerima bantuan kebajikan bulanan daripada JKM dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.57 juta setiap bulan.
Dalam pada itu, Razi menasihati para penerima supaya menggunakan bantuan yang diterima dengan sebaiknya bagi meringankan beban menjelang sambutan Hari Raya.
Oleh Tarani Lanting