LEBIH daripada 72 tan nanas dihantar ke Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat di Daerah Kecil Oya baru-baru ini.
Merupakan hasil tanaman seramai 127 pekebun di Daerah Dalat, jumlah tersebut melibatkan penghantaran sebanyak sembilan kali bermula daripada 28 Jun hingga 14 Julai lalu.
Lambakan nanas di Oya dan Dalat berkenaan berlaku akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan ia sukar untuk dijual pada tempoh tersebut.
Untuk meringankan sedikit kerugian yang dialami oleh perkebun-pekebun terbabit, kerajaan melaksanakan strategi proaktif dengan membeli hasil pertanian itu melalui Pertubuhan Peladang Kawasan Oya/Dalat.
AGIHAN KEPADA PENDUDUK TEMPATAN
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti , Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah, ia diagihkan semula kepada penduduk tempatan.
“Lepas itu ia diagihkan secara percuma kepada tempat ibadat contohnya masjid, surau, gereja, chapel, kuil dan juga penduduk kampung.
“Pengagihan nanas dibantu oleh petugas Pusat Khidmat ADUN Dalat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap kampung. Sambil membantu pekebun yang terlibat, usaha ini juga adalah sebagai pekongsian rezeki semasa PKP untuk kawasan saya,” kata Dato Sri Fatimah Abdullah.
Pada masa yang sama, beliau menganggap nanas yang tidak terjual itu bersifat sementara sahaja. Beliau menasihatkan pekebun nanas tempatan untuk mengusahakannya secara kumpulan atau kelompok untuk memastikan kelestariannya atau pengeluaran mampan.
“Kalau mereka mengusahakannya secara berkumpulan mereka dapat mengeluarkannya dengan konsisten. Menerusi konsistensi itu, mereka boleh mewujudkan suasana pemasaran yang berskala besar dan bukan bermusim sahaja,” katanya.
Untuk memastikan ia sentiasa ada, tambah Fatimah, mereka boleh menanamkannya dengan berpetak atau lot-lot tertentu mengikut usia nenas itu sendiri.
“Umpamnya, ia membesar berperingkat-peringkat untuk memastikan pengeluran sepanjang tahun. Ia untuk memastikan pengeluaran terus menerus untuk sepanjang musim. Ini amat penting kalau kita nak memasarkannya ke pasaran yang lebih meluas lagi,” katanya.
WUJUDKAN PUSAT PENGUMPULAN NANAS
Antara kaedah kerjasama itu, tambahnya mereka juga boleh mewujudkan pusat pengumpulan nanas untuk dipasarkan di dalam dan luar kawasan.
Beliau menambah bahawa mereka harus kreatif dan proaktif dengan mempelbagaikan usaha mereka dengan melibatkan industri huluan dan hiliran nanas.
“Bagi industi huluan ialah dengan menjual nanas itu segar dari hutan, dan ia juga melibat proses tertentu termasuk pembungkusannya. Kita tahu nanas ini tahannya mungkin selama seminggu sahaja, justeru kecepatannya sampai kepada pengguna itu adalah amat penting,” katanya.
Manakala produk hiliran, ujar beliau lagi, ia boleh dijadikan jem, pais, dan manisan, dengan syarat untuk mendapat pasaran luar, kualitinya harus diberi perhatian.
Beliau juga menyentuh tentang mengilangnya atau nanas tin, namun ia memerlukan modal yang besar, dan sekali lagi kerjasama di antara pekebun nanas itu diperlukan.
Walaupun tidak menekan tentang koperasi, beliau seolah-seolah menganggap ia adalah satu platform yang boleh dipertimbangkan oleh pekebun tempatan.
“Jika diusahakan secara kumpulan, ia juga memudahkan pihak tertentu menyalurkan bantuan dana dan sebagainya. Kalau zaman dahulu kita boleh memikir untuk kegunaan atau makan sendiri sahaja akan tetapi jika ingin menjadikan prinsip bahawa pertanian itu adalah peniagaan sesuatu harus dilakukan secara lebih agresif lagi,” tambah beliau.
SOKONGAN AKTIVITI PENANAMAN NANAS
Sokongan beliau terhadap aktiviti penanaman nanas tempatan dimanifestasikan dengan lawatannya ke sebuah kebun nanas di Sungai Kut Muara Dalat pada pertengahan Ogos lalu.
Fatimah menyatakan kekaguman beliau terhadap semangat gigih pekebun muda, Justino Peter Bagang, yang menunjukkan bahawa sesuatu kejayaan itu bukan datang menggolek.
Sebaliknya, ia memerlukan ikhtizam yang tinggi dan berbekalkan ketekunan dan keinginan untuk belajar daripada kesilapan.
“Berbekalkan semangat waja untuk berjaya dalam bidang pertanian seorang pemuda daripada Kampung Sungai Kut, Justino dan abangnya Zimmy telah berjaya menanam 50,000 pohon nanas di tanah berkeluasan 15 ekar,” ujarnya.
Selain kegigihan, ketekunan, kerajinan belajar dari kesilapan, kata Fatimah, Justino juga mengikut kursus untuk menambahkan pengetahuan dalam bidang penanaman nanas berkenaan.
“Dia juga mengadakan lawatan sambil belajar, mendapat nasihat daripada mereka yang pengalaman, tunjuk ajar termasuk daripada Lembaga Pembangunan Nanas Malaysia (LPNM).
“Alhamdulillah sekarang sudah nampak hasilnya. Projek ini dimulakan mereka pada tahun 2018, namun katanya ia bukan mudah kerana mereka telah melalui banyak cabaran.
“Banyak yang perlu beliau pelajari untuk mencapai ke tahap sukses yang diingini. Saya percaya satu hari nanti impian beliau sekeluarga akan menjadi kenyataan. Insya-Allah,” tambah Fatimah lagi.
Oleh HENRY B SIYU