
SIMUNJAN: Sebagai sokongan kepada Kempen Penghijauan Sarawak yang diterajui oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS), satu program penanaman pokok telah berjaya dianjurkan di Hutan Simpan Sabal di sini dengan kerjasama Persatuan Jepun Malaysia (JMA) dan ditaja oleh Kumpulan Kinoshita melalui JMA.
Inisiatif ini menyaksikan penanaman sebanyak 700 anak pokok spesies tempatan yang terdiri daripada Kapur Bukit dan Bintangor Laut, menyumbang kepada usaha berterusan untuk memulihkan kawasan hutan terosot dan mempertingkatkan biodiversiti di Sarawak.
Acara ini menghimpunkan lebih 100 peserta, termasuk kakitangan Jabatan Hutan Sarawak, sukarelawan dari JMA, guru dan pelajar dari SMK Balai Ringin, pensyarah dan pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), serta ahli komuniti setempat.
Program ini mencerminkan semangat kerjasama yang kukuh antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, organisasi bukan kerajaan, dan rakan antarabangsa.
Ia juga merupakan sebahagian daripada komitmen lebih luas Sarawak di bawah Kempen Penghijauan Sarawak langkah penting ke arah membina masa depan yang lebih lestari dan tahan iklim.
Turut hadir, Penyelaras JMA Sarawak Kazue Sakai, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Unimas Profesor Madya Dr. Mohd Effendi Wasli, wakil dari SMK Balai Ringin Michael Pulo dan wakil Jabatan Hutan Sarawak
Wan Abdul Khaliq.