KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan bahawa 7 Jun setiap tahun adalah sebagai Hari Keselamatan Makanan Sedunia (World Food Safety Day – WFSD).
Sambutan ini dilihat signifikan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan makanan bagi melindungi kesihatan pengguna di peringkat global.
Tema sambutan WFSD pada 2023 adalah “Food Standards Save Lives”.
Tema tahun ini memfokuskan kepada peranan penting standard makanan dalam menghasilkan makanan yang selamat dan berkualiti untuk pengguna serta melindungi kesihatan pengguna.
Tema ini bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-60 Codex Alimentarius Commission (Codex) iaitu program standard makanan antarabangsa yang ditubuhkan bersama oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Standard makanan antarabangsa yang disediakan oleh Codex bertujuan melindungi kesihatan pengguna dan memudahcara perdagangan makanan dan menjadi rujukan kepada negara-negara di seluruh dunia, sehingga kini, 188 negara termasuk Malaysia serta satu kesatuan (EU) telah menjadi ahli Codex.
Makanan yang selamat adalah kunci kepada kesihatan yang baik. Globalisasi perdagangan makanan, peningkatan populasi dunia, perubahan iklim dan sistem makanan yang kompleks bagaimanapun telah memberi impak ke atas keselamatan makanan.
Menurut WHO, daripada 600 juta penduduk di seluruh dunia, satu daripada 10 orang setiap tahun jatuh sakit melibatkan lebih 200 jenis penyakit akibat dari memakan makanan yang tercemar dengan bakteria, virus, parasit, racun atau bahan kimia. Standard makanan penting dalam memastikan makanan yang dipasarkan adalah selamat dan berkualiti.
KKM amat menitikberatkan usaha memperkukuh keselamatan makanan negara termasuk memastikan makanan yang dihasilkan selamat dan mematuhi standard keselamatan makanan yang telah ditetapkan dengan melaksanakan pelbagai strategi dan intervensi.
KKM, melalui Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya termasuklah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 menguatkuasakan standard makanan dan peruntukan kebersihan makanan di mana pihak pengusaha makanan wajib mematuhi peraturan sebelum sesuatu produk makanan dipasarkan.
KKM juga bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang turut menyumbang kepada kawalan keselamatan makanan di sepanjang rantaian makanan, daripada ladang hingga ke meja makan.
Seperti tahun sebelumnya, KKM turut mengadakan aktiviti sambutan WFSD bagi menekankan kepentingan keselamatan makanan di kalangan masyarakat.
Bersempena Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Tahun 2023, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) melaksanakan hebahan kempen keselamatan makanan melalui radio, televisyen serta media sosial.
Terdapat juga pihak yang berkepentingan yang turut bekerjasama membuat hebahan berkaitan di pasaraya-pasaraya atau laman sesawang mereka.
Selain itu, KKM juga akan mengadakan program Apron Walk peringkat Kebangsaan pada September 2023 yang terbuka kepada orang awam, pengusaha makanan, kumpulan pasaraya, akademia, agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan, dalam meningkatkan usaha bersepadu pelbagai pihak bagi memastikan objektif utama keselamatan makanan difahami dan dilaksanakan oleh pelbagai pihak tercapai.
KKM akan terus menerajui dan memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara bersama-sama semua pihak yang berkepentingan lain bagi memastikan rakyat Malaysia terus menikmati makanan yang selamat dan berkualiti.
Selain itu orang awam juga hendaklah sentiasa mengamalkan konsep “Lihat, Hidu dan Rasa” sebelum makan, mengamalkan amalan kebersihan diri yang baik, menyimpan makanan dengan kaedah yang betul bagi mengurangkan risiko kejadian keracunan makanan, kerana “Keselamatan Makanan adalah, Tanggungjawab Bersama”. – Bernama