
KUCHING: Sebanyak 7.38 juta transaksi direkodkan menerusi pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2026.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dalam tempoh sama sebanyak 7,320 siri PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara.
“Bagi Sarawak, sebanyak 775 siri pelaksanaan direkodkan dengan jumlah 761,398 transaksi sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sentuhan Kasih Jualan Madani di Dewan Serbaguna Kampung Bratan, di sini hari ini.

Menurutnya, pencapaian tersebut membuktikan PJRM berperanan sebagai mekanisme intervensi kos sara hidup yang berkesan kepada rakyat.
Katanya, program berkenaan kini dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara termasuk 40 zon di Wilayah Persekutuan.
“Pelaksanaan PJRM turut ditetapkan dengan kekerapan sekurang-kurangnya tiga kali sebulan bagi setiap DUN bagi memastikan akses berterusan kepada rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, PJRM menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa setempat, melibatkan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, telur dan ayam.
Beliau menegaskan, kerajaan akan terus memperkukuh pelaksanaan PJRM secara lebih proaktif dan bersasar bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
Oleh Shahrul Qaizat