
BINTANGOR: Seramai 68 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Papit telah menyertai program ceramah keselamatan dan kesedaran kebakaran yang dianjurkan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, baru-baru ini.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program bermula seawal 8.10 pagi dan dikendalikan oleh tiga anggota bomba yang bertugas.
“Ceramah ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang aspek keselamatan kebakaran dalam kalangan warga sekolah.
“Antara pengisian program termasuk demonstrasi penggunaan alat pemadam api,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, para peserta turut diberi peluang untuk mengendalikan alat pemadam api dengan kaedah yang betul di bawah bimbingan anggota bomba.
“Selain ceramah dan demonstrasi, turut diadakan ialah latihan kebakaran serta pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) di kawasan sekolah.
“Alhamdulillah, program berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya lagi.
Program berakhir sepenuhnya pada 12.05 tengah hari.
Oleh Earl Anek