
SIBU: Seramai 68 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart menerima insentif tunai berjumlah RM23,500 sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di sini, hari ini.
Insentif tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, dalam satu majlis penyampaian yang diadakan di sekolah berkenaan.
Menurut Chieng, program tahunan ini kini memasuki tahun keempat pelaksanaannya dan bertujuan untuk menghargai usaha gigih pelajar yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.00 ke atas.
“Setiap tahun, melihat kerja keras dan dedikasi anda semua amat menginspirasikan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penambahbaikan telah dilakukan terhadap sistem insentif tersebut selepas perbincangan bersama guru-guru dari sekolah terlibat, dengan ganjaran kini disusun mengikut pencapaian CGPA.
Menerusi sistem baharu itu, pelajar dengan CGPA 3.00 hingga 3.32 menerima RM200, CGPA 3.33 hingga 3.66 menerima RM300, CGPA 3.67 hingga 3.99 menerima RM400, manakala pelajar yang memperoleh CGPA penuh 4.00 menerima RM500.
“Penyesuaian ini mencerminkan komitmen kita untuk menggalakkan lebih ramai pelajar melangkaui batas kebiasaan serta memastikan mereka dihargai secara adil,” katanya lagi.
Tahun ini, seramai 95 pelajar dari dua sekolah dalam kawasan Bukit Assek layak menerima insentif dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM32,700.
Chieng turut merakamkan penghargaan kepada para guru dan ibu bapa atas peranan penting mereka dalam membantu kejayaan pelajar, selain menyifatkan pencapaian pelajar sebagai hasil ketabahan dan disiplin tinggi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak komited dalam memperkasakan sektor pendidikan melalui pelbagai inisiatif, termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) yang dijadual dilaksanakan mulai 2026.
Skim tersebut akan menanggung sepenuhnya yuran pengajian bagi pelajar Sarawak yang mengikuti program ijazah di institusi milik negeri seperti Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Malaysia, University Technology Sarawak (UTS), dan i-CATS University College.
Selain itu, pelajar daripada keluarga berpendapatan per kapita RM1,500 ke bawah turut bakal menerima bantuan sara hidup tahunan sebanyak RM15,000 di bawah skim sama.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan tiada anak Sarawak tercicir dalam pendidikan tinggi, tanpa mengira latar belakang keluarga,” kata Chieng.
Beliau turut menggesa pelajar untuk terus berusaha mengejar kejayaan dan kembali menyumbang kepada masyarakat serta negeri suatu hari nanti.
Oleh Tarani Lanting