SEPANG: Seramai 670 petugas haji akan digerakkan secara berperingkat ke Arab Saudi bagi menjayakan perjalanan operasi ibadah haji tahun ini, kata Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Beliau berkata daripada keseluruhan petugas haji, 340 daripadanya adalah petugas kebajikan, petugas perubatan (296) manakala baki 34 petugas lagi adalah daripada agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta media tempatan.
“Semua petugas digerakkan secara berperingkat menerusi beberapa siri penerbangan sepanjang fasa pertama operasi haji tahun ini,” katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan 160 petugas haji termasuk media ke tanah suci di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Syed Saleh berkata TH masih menunggu keputusan daripada kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan 10,000 kuota tambahan jemaah haji Malaysia tahun ini.
“Itu (rayuan kuota tambahan) terpulang kepada kerajaan Arab Saudi. Mereka mempunyai jawatankuasa untuk melihat dari segi permohonan-permohonan yang diterima dan dalam masa yang sama, mereka lihat juga dari aspek lain seperti kemudahan, prasarana dan sebagainya.
“Jadi tempoh untuk mereka menjawab semula kepada kita itu berbeza-beza, setakat ini belum lagi (keputusan kuota tambahan),” katanya.
Sementara itu, Editor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Kamarul Irwan Alias menyifatkan pemilihannya sebagai petugas media bagi musim haji tahun ini umpama ‘rezeki terpijak’ dan akan memberikan liputan terbaik.
“Sepatutnya di bawah Sistem Pendaftaran dan Giliran Haji TH, giliran saya adalah pada tahun 2109, bila Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Harlina Samson memaklumkan saya dipilih untuk membuat liputan operasi haji tahun ini, ia sesuatu yang sangat saya nantikan,” kata bapa kepada dua anak itu.
Kamarul Irwan berkata beliau bersama 12 petugas media agensi tempatan yang lain dijangka akan berada di sana hingga 10 Julai ini.
Penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula pada 21 Mei ini manakala penerbangan pulang terakhir adalah pada 1 Ogos depan.
Bagi tahun ini, hari Wukuf iaitu 9 Zulhijah dijangka pada hari Selasa, 27 Jun ini.
Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia melibatkan Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.
Lapan stesen berlepas akan digunakan untuk para jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri antaranya di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu; Alor Setar, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. – Bernama