
SANTUBONG: Seramai 67 perantis diraikan pada majlis Konvokesyen Ke-6 Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Kampung Budaya Sarawak 2025 yang berlangsung di Damai hari ini.
Majlis ini menandakan kesinambungan usaha pusat latihan tersebut dalam melahirkan tenaga mahir belia dalam bidang kesenian, teknikal dan pertukangan.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain berkata program berasaskan kemahiran yang diiktiraf kerajaan dan industri itu telah melatih 1,312 perantis sejak mula dilaksanakan pada Mac 2013.
“Program kemahiran di Kampung Budaya Sarawak adalah laluan penting bagi anak muda untuk membina kerjaya berteraskan kemahiran sejajar dengan aspirasi kerajaan memperkasa TVET sebagai pemangkin modal insan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan SLDN memberi pendedahan kepada situasi kerja sebenar melalui latihan teori sebanyak 20 peratus dan latihan praktikal 80 peratus selama tujuh hingga lapan bulan di Kampung Budaya Sarawak.
Perantis turut menerima elaun bulanan sebelum dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Abdul Aziz berharap program yang kini dinamakan semula sebagai Akademi Dalam Industri (ADI) akan terus bergerak selari dengan pembaharuan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi memperkasa latihan kemahiran di negeri ini.
“Institut Kemahiran Seni diharapkan dapat menjadi jambatan dalam membangunkan modal insan berkemahiran di Kampung Budaya Sarawak dengan masyarakat sekeliling, sekali gus memperkukuh warisan budaya di peringkat nasional,” katanya.
Oleh Amanda L.