
BINTANGOR: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-66 dalam satu majlis sederhana tetapi bermakna yang diadakan di Pejabat SUPP Bintangor, malam tadi.
Majlis tersebut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong merangkap Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing, bersama isteri, Datin Kueh Nai Fun.
Turut hadir barisan kepimpinan parti termasuk Timbalan Pengerusi Chieng Boung Ong, Setiausaha Lau Sie Hing, Bendahari Lee Ngin Soon, Ketua Pergerakan Wanita Cr Chieng Ming Kiong, Ketua Pemuda Ley Chee Hua serta ahli-ahli Wanita dan Pemuda parti.
Dalam ucapannya, Ding merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli parti atas komitmen dan kerjasama berterusan dalam menangani isu setempat dan menyokong agenda pembangunan di kawasan Meradong.
“Kekuatan parti terletak pada perpaduan akar umbi dan kesungguhan semua peringkat dalam menyantuni keperluan masyarakat,” katanya.
Ding turut berkongsi perkembangan pelbagai projek pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan di daerah Meradong.
Ini, katanya, termasuk pembinaan kolam renang, tebingan sungai, jambatan Kampung Muhibah–Kampung Rancak, jalan baharu dari Janting ke Sungai Tulai, Dewan Sentral baharu, taman rekreasi Bintangor, pusat hemodialisis di Tulai, serta penaiktarafan sistem paip air di Pasar Bintangor, dan Sungai Mador.
Ding turut memaklumkan bahawa cadangan penambahan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) di beberapa kawasan telah dikemukakan kepada kerajaan Sarawak bagi memperkukuh jaringan kepimpinan akar umbi dan melancarkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Tambahnya, program kemasyarakatan akan terus digiatkan melalui Pergerakan Wanita dan Pemuda SUPP Cawangan Bintangor, termasuk penganjuran Larian Hari Sarawak dan pertandingan mewarna kanak-kanak sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Selain itu, katanya lagi, program “Mobile Service To U” akan dijalankan setiap bulan di rumah panjang dan kawasan sekitar bandar Bintangor sebagai usaha mendekati masyarakat serta menyampaikan maklumat dan perkhidmatan bantuan secara langsung.