

Ops Sapu dijalankan sekitar Bintulu bagi membanteras PATI. Foto JIM Sarawak
BINTULU: Seramai 66 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menerusi Ops Sapu yang dilaksanakan di sekitar bandar ini baru-baru ini.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, operasi berkenaan dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas (PTK) bersama Unit Penguatkuasaan Imigresen Bintulu, melibatkan seramai 24 anggota.
“Sebanyak 84 individu diperiksa di beberapa lokasi tumpuan pekerja asing, dan hasilnya, 64 lelaki serta dua wanita telah ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” kata kenyataan itu.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk Tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa, dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Kesemua PATI yang ditahan kini dalam siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
JIM dalam pada itu menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kemasukan dan penempatan haram PATI di negeri ini.
“Kerjasama orang awam amat dihargai, terutamanya dalam menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap aktiviti yang menyalahi undang-undang,” tambah kenyataan itu.