65 peserta meriahkan Kejohanan Badminton Remaja Spaoh 2026

Facebook
WhatsApp
PESERTA bersama barisan jurulatih dan penganjur bergambar kenangan sempena Kejohanan Badminton Remaja Spaoh 2026. Foto Douglas Uggah Embas Official

SPAOH: Seramai 65 peserta menyertai Kejohanan Badminton Remaja Spaoh 2026 yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban sebagai platform mencungkil bakat baharu dan memupuk minat golongan muda terhadap sukan badminton.

Kejohanan bertemakan “Smash, Raih Kejuaraan!” itu dimulakan dengan sesi latihan dan saringan semalam dan hari ini, manakala pusingan akhir dijadualkan berlangsung pada 22 Ogos nanti.

Sesi latihan dan saringan dikendalikan jurulatih profesional daripada Ant Badminton Academy yang memberi bimbingan serta tunjuk ajar kepada peserta sebagai persediaan menghadapi saingan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata penganjuran kejohanan itu membuktikan komitmen dalam menyediakan ruang kepada golongan muda untuk mengisi masa dengan aktiviti sihat selain mengembangkan bakat dalam bidang sukan.

Menurutnya, sukan bukan sahaja penting untuk membina kecergasan fizikal, malah mampu membentuk disiplin, keyakinan diri serta semangat bersaing secara sihat dalam kalangan generasi muda.

“Kita mahu anak-anak muda kita mempunyai ruang untuk mengembangkan bakat mereka. Sukan bukan sahaja membina kecergasan, tetapi turut membentuk disiplin, keyakinan diri dan semangat untuk bersaing secara sihat.

“Saya berharap semua peserta mengambil peluang ini untuk menunjukkan kemampuan masing-masing dan terus berlatih. Yang penting, jangan mudah berputus asa dan sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berharap kejohanan berkenaan dapat diteruskan sebagai platform pembangunan sukan akar umbi di kawasan itu.

Katanya, usaha sedemikian penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda untuk diketengahkan dan seterusnya bersaing di peringkat lebih tinggi.

Kejohanan berkenaan diharap menjadi titik permulaan kepada pembangunan badminton yang lebih tersusun di Bukit Saban, sekali gus melahirkan lebih ramai pemain muda berpotensi pada masa depan.

Oleh Adi Safarman