PETRA JAYA: Seramai 45,313 wanita di Sarawak telah menjalani saringan virus papiloma manusia (HPV) DNA sejak 2019 hingga 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, sebanyak 3,037 kes positif HPV telah dikesan daripada jumlah tersebut, namun banyak kes kanser berjaya dicegah melalui saringan itu.
“Kita berjaya mencegah banyak kes kanser menerusi usaha pengesanan awal ini. Ini merupakan bukti jelas bahawa usaha kita memberikan impak.
“Oleh itu, kita mahu setiap wanita sedar bahawa kanser serviks boleh dicegah dan dirawat, khususnya melalui pengesanan awal dengan teknologi perubatan yang semakin maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan 2025 di Kompleks Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Sarawak di sini, hari ini.
Nancy berkata, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 65 peratus wanita berumur 20 tahun ke atas tidak menjalani saringan kanser serviks dalam tempoh tiga tahun terakhir.
“Antara alasan utama termasuk anggapan bahawa mereka sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit, tidak mengalami gejala, serta menghadapi kekangan masa.
“Hakikatnya, gejala bukanlah penanda aras bagi kesihatan, kerana ujian HPV DNA mampu mengesan jangkitan hingga 10 tahun sebelum ia berkembang menjadi kanser.
“Dengan teknologi terkini, kita dapat mengesan jangkitan lebih awal dan mengambil tindakan segera,” katanya.
Untuk rekod, seramai 162,581 wanita di seluruh negara telah menjalani saringan dari 2019 hingga 2024, dengan 10,582 kes positif HPV dikesan, 135 kes pra kanser dikenal pasti, dan 17 kes positif kanser telah dirawat.
Pasa masa sama, Nancy menyatakan bahawa tahun ini, kementeriannya bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mempergiat usaha dengan menawarkan saringan HPV DNA secara percuma kepada wanita berumur 30 hingga 65 tahun di 50 Klinik Nur Sejahtera di seluruh negara.
“Ini adalah peluang besar untuk semua wanita yang layak mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan mereka.
“Saya menyeru kepada semua orang untuk menggalakkan wanita di sekeliling anda untuk menjalani ujian ini. Kesihatan wanita adalah tunjang kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal