OPERASI… Pekerja penyelamat memindahkan penduduk selepas gempa bumi berukuran 6.6 magnitud di Daerah Luding, Ganzi di Wilayah Sichuan barat daya China. • Foto AFP
BEIJING: Pasukan penyelamat mencari dan menyelamat dalam runtuhan diperkampungan terpencil di pergunungan barat daya China semalam dalam perlumbaan untuk mencari mangsa yang terselamat daripada gempa bumi yang meragut sekurang-kurangnya 65 nyawa dengan ratusan orang dipercayai terkandas atau hilang.
Gempa bumi berukuran 6.6 pada skala Richter itu melanda kira-kira 43 kilometer tenggara Bandar Kangding di wilayah Sichuan pada kedalaman 10 kilometer pada Isnin, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Sekurang-kurangnya 65 orang terbunuh, lapor media kerajaan semalam dengan lebih 200 masih terputus hubungan di kawasan terpencil dan ramai yang hilang di tempat lain.
Video dari CCTV penyiar negeri menunjukkan anggota bomba menarik seorang wanita yang lebam dan berlumuran darah dari runtuhan dan membawa mangsa yang terselamat di atas pengusung menyeberangi sungai di atas jambatan sementara serta bangunan dan jalan yang rosak berselerak dengan batu yang tumbang.
Pentadbiran Meteorologi China memberi amaran bahawa, kawasan yang dilanda gempa akan mengalami hujan yang ketara sehingga esok dan tanah runtuh boleh menghalang kerja menyelamat.
Rakaman yang dikongsi oleh Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC) pada Isnin lalu menunjukkan batu-batu jatuh di lereng gunung di Daerah Luding, menimbulkan awan debu ketika gegaran menggoyangkan wayar telefon di tepi jalan.
Sekurang-kurangnya sebuah bandar mengalami kerosakan teruk akibat tanah runtuh yang dicetuskan oleh gempa itu, lapor CCTV.
“Sebelum 5.00 pagi, saya terdengar bunyi gemuruh. Rumah itu bergegar dengan teruk sehingga saya segera bangun,” kata seorang wanita bernama Zheng dari Daerah Lu di Sichuan kepada Beijing News.
“Rumah abang roboh. Rumahnya lama dibina lebih 10 tahun lalu. Rumah saya baru dibina, jadi keadaan lebih baik.”
Operasi Mencari dan Menyelamat
Gempa bumi itu juga menggegarkan bangunan di ibu kota wilayah Chengdu yang mana jutaan pendudul ‘terkurung’ di rumah mereka di bawah sekatan ketat Covid-19 dan di bandar besar berhampiran Chongqing.
Menurut CCTV, sekurang-kurangnya 10 gegaran susulan bermagnitud 3.0 dan ke atas dikesan setakat 7.00 pagi waktu tempatan (2300 GMT).
Lebih 200 orang dilaporkan terputus hubungan dengan penyelamat di Hailuogou Scenic Resort dengan CCTV menyiarkan rakaman jentolak membersihkan batu dan serpihan lain menghalang akses ke kawasan itu.
Sementara itu, lebih 100 orang diberitahu untuk berpindah kerana bimbang akan banjir kilat selepas tanah runtuh menyekat aliran air anak sungai ke Sungai Dadu, kata kerajaan Luding dalam akaun Weibo rasminya.
Jelas CCTV, Pasukan penyelamat dalam kayak dilihat mengangkut penduduk kampung ke hilir dari tasik akibat tanah runtuh.
Kabinet China malam Selasa berkata, ia menghantar pasukan khas untuk mengetuai usaha itu, dengan CCTV melaporkan lebih 6,500 orang dihantar sebagai sebahagian daripada tindak balas menyelamat kecemasan.
“Presiden Xi Jinping menggesa Pihak Berkuasa Tempatan untuk menyelamatkan nyawa sebagai keutamaan pertama dan meminimumkan kehilangan nyawa”, menurut CCTV.
Pegawai tempatan melancarkan rayuan orang ramai untuk menderma bagi membantu kerja bantuan.
Kawasan gempa bumi
Gempa bumi agak biasa di China, terutamanya di barat daya aktif seismik negara itu. Gegaran berukuran lebih kecil 4.6 magnitud melanda timur Tibet kurang sejam selepas gempa awal, menurut USGS.
Gempa bumi berukuran 8.0 pada skala Richter pada 2008 di Daerah Wenchuan di Sichuan menyebabkan puluhan ribu maut dan menyebabkan kerosakan teruk.
Pada Jun lalu, sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan puluhan lagi cedera selepas dua gempa bumi di barat daya China.
Bulan itu, gegaran 6.1 magnitud melanda kawasan yang jarang penduduknya kira-kira 100 kilometer ke barat Chengdu. Ia diikuti tiga minit kemudian dengan gempa bumi kedua pada magnitud 4.5 di daerah berhampiran yang mana kematian dan kecederaan dilaporkan berlaku.
Pihak berkuasa di Chengdu melanjutkan penutupan bandar pada Ahad lalu ketika mereka memerangi wabak Covid-19 selepas merekodkan ratusan kes Covid-19.
Rantau ini juga mengalami musim panas dengan cuaca ekstrem dengan gelombang haba yang memecahkan rekod dengan ketara dan mengeringkan sungai di Chongqing. -AFP