
PUTRAJAYA: Sebanyak 63 kapal asing yang disyaki berasal dari Indonesia, Thailand dan Vietnam telah disenaraikan dalam Senarai Aktiviti PerikananTidak Sah, Tidak Dilaporkan dan Tidak Dikawal (IUU-Malaysia) hingga November 2024.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata walaupun jumlah tangkapan kapal asing menunjukkan penurunan daripada 121 kes pada 2020 kepada 82 kes pada 2024, ancaman terhadap sumber perikanan negara masih berterusan dan perlu ditangani segera.
Beliau dalam kenyataan hari ini, berkata Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan meningkatkan penguatkuasaan di perairan negara bagi memastikan sebarang aktiviti pencerobohan oleh kapal asing dapat ditangani secara tegas dan menyeluruh.
“Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti perikanan haram yang menjejaskan kemandirian sumber perikanan negara dan merugikan nelayan tempatan,” katanya.
Beliau berkata mana-mana pihak yang melanggar Akta Perikanan 1985 akan dikenakan tindakan tegas termasuk penyitaan kapal, dan denda maksimum.
Adnan, berkata DOF turut mengukuhkan sistem pemantauan vesel (VMS) bagi mengawasi pergerakan kapal penangkapan ikan tempatan (VNT), khususnya di Zon B, C dan C2, serta memantau aktiviti pencerobohan di kawasan perairan yang dikhaskan untuk nelayan tempatan.
Beliau, berkata usaha menangani aktiviti IUU terus diperkasakan melalui Jawatankuasa Induk IUU Fishing, dan Jawatankuasa Kerja IUU Fishing yang diketuai DOF dengan sokongan pelbagai agensi penguatkuasaan berkaitan.
Selain itu, Malaysia juga akan terus memainkan peranan utama dalam ASEAN Network for Combating IUU Fishing (AN-IUU) bersama negara serantau bagi menangani ancaman IUU di perairan rantau ini. – Bernama