
BINTANGOR: Seramai 626 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau No.2 menerima pendedahan awal berkaitan keselamatan kebakaran dan tindakan kecemasan, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program tersebut bertujuan meningkatkan tahap kesedaran pelajar terhadap risiko kebakaran dan langkah keselamatan yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Dua orang anggota bomba bertugas hadir bagi mengendalikan program yang bermula dari 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.

“Pendedahan awal kepada pelajar amat penting supaya mereka memahami bahaya kebakaran dan tahu tindakan asas yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan di sekolah atau di rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, selain ceramah keselamatan kebakaran, pengisian program turut merangkumi perkongsian berkaitan langkah menangani haiwan dan serangga berbisa serta pengenalan kepada teknik bantuan kecemasan seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR).
“Pengetahuan ini bukan sahaja berguna di persekitaran sekolah, malah boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian bagi melindungi diri dan orang lain.
“Alhamdulillah, program berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Oleh Earl Anek