SIDANG MEDIA… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Untuk Persediaan Sukma XX MSN 2022 di Bilik Mesyuarat Stadium Negeri Sarawak, di sini, semalam.
KUCHING: Sarawak bakal menghantar 625 orang atlet bagi mewakili negeri ini pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 16 hingga 24 September akan datang.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran SUKMA pada tahun ini diambil alih oleh Majlis Sukan Negara (MSN) berikutan permintaan negeri Johor yang menolak untuk menjadi penganjur pada tahun ini.
Katanya, bagaimanapun negeri Johor akan menjadi penganjur sukan tersebut pada 2024.
“Semua acara sukan akan diadakan di Selangor dan Kuala Lumpur melainkan acara lumba basikal yang akan diadakan di Nilai, Negeri Sembilan dan acara pelayaran yang akan diadakan di Langkawi.
“Selain itu, pelancaran ‘countdown’ 50 hari ke SUKMA dan pelancaran ‘our star, our pride’ bakal diadakan pada 29 Julai di Tebingan Sungai Kuching (Waterfront),” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Untuk Persediaan Sukma XX MSN 2022 di Bilik Mesyuarat Stadium Negeri Sarawak, di sini, semalam.
Menjelas lanjut, Karim memberitahu sebanyak 426 acara yang akan dipertandingkan dan beberapa acara telah digugurkan kerana tidak cukup penyertaan daripada negeri-negeri lain.
“Pra-syaratnya ialah sekiranya satu-satu acara tersebut tidak dapat ditandingi oleh sekurang-kurangnya empat negeri, maka acara tersebut akan digugurkan di mana antara acara yang menerima impak ialah acara terjun wanita di mana keseluruhan acara telah digugurkan, karate wanita, berpasukan olahraga wanita 10 ribu meter jalan kaki, acara angkat berat tidak melebihi 76 kilogram dan acara judo wanita untuk acara ‘nage no kata’.
“Selain itu, acara kanu polo lelaki dan wanita, tinju lelaki ‘super heavy weight’ 92 kilogram ke atas juga telah digugurkan dan saya berasa sedih kerana banyak acara yang melibatkan atlet Sarawak,” ujarnya yang turut memberitahu perasmian pembukaan SUKMA tahun ini akan diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tambahnya, daripada 625 atlet yang dihantar, beberapa atlet telah didedahkan dalam sukan SUKMA yang lepas manakala ramai juga merupakan yang baharu namun sudah menjalani persiapan melebihi setahun.
Dedahnya lagi, sasaran pingat emas yang baharu belum dapat didedahkan memandangkan beliau masih memberi ruang kepada semua badan persatuan sukan untuk membuat penilaian hingga hari kontinjen berangkat ke Kuala Lumpur.
Oleh RYNNA SHA’ERRA