
BINTANGOR: Sebanyak 622 kontena bubur asyura dan 311 kontena buah kurma diagihkan kepada agensi kerajaan serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Melayu di kawasan ini sempena Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata program itu bertujuan menyemarakkan semangat Ramadan melalui amalan berkongsi rezeki serta memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin, penjawat awam dan masyarakat setempat.
“Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan mengajar tentang nilai kesabaran, pengorbanan serta kepentingan berkongsi rezeki dengan orang lain.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Meradong yang bergotong-royong menyediakan dan memasak bubur asyura bagi menjayakan program ini,” katanya ketika berucap pada program tersebut, di sini, semalam.
Katanya, usaha itu mencerminkan semangat sukarelawan, perpaduan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat untuk berkongsi rezeki dengan golongan lain.
“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Ini kerana, selain memeriahkan suasana Ramadan, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuhkan semangat kebersamaan antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat setempat,” katanya.
Oleh Earl Anek