CAP-HAITIEN: Letupan trak gas besar-besaran mengorbankan sekurang-kurangnya 62 orang di Haiti pada Selasa lalu, selepas orang ramai mengerumuni kenderaan itu untuk mengutip bahan api yang tertumpah yang merupakan komoditi berharga di negara yang dilanda kekurangan teruk.
Letupan di Bandar Cap-Haitien di Haiti adalah bencana terbaharu yang melanda negara Caribbean yang dilanda kemiskinan itu selain keganasan kumpulan dan kelumpuhan politik.
Perdana Menteri Ariel Henry melawat lokasi tragedi itu berkata, hatinya ‘patah’ selepas bertemu dengan beberapa puluhan yang cedera di hospital tempatan.
Henry kemudian dalam ciapan Twitter memberitahu bahawa dana kecemasan telah dikeluarkan untuk membantu menangani tragedi itu.
Dalam tragedi malang itu, sisa trak yang hangus terletak di kawasan Samarie yang dibina di bandar itu di pantai utara negara itu menyebabkan bangunan di sekelilingnya terbakar dalam letupan itu.
Orang ramai berkumpul di tapak yang mana beberapa mangsa yang maut ditinggalkan di jalan di dalam beg mayat.
“Kami kini telah mengira 62 kematian,” kata Timbalan Datuk Bandar Patrick Almonor sambil menambah pihak berkuasa masih mencari mangsa di bangunan berhampiran.
Almonor menyifatkan tragedi yang mengerikan berkata, beliau melihat puluhan orang dibakar hidup-hidup dan tidak mungkin untuk mengenal pasti mereka yang terkorban.
Terdahulu, trak yang membawa gas itu dipercayai terbalik selepas pemandunya hilang kawalan ketika berpusing bagi mengelak teksi motosikal.
Jabatan Perlindungan Awam Haiti mengesahkan trak itu telah terhempas dan orang yang lalu lalang bergegas untuk mengambil gas yang terlepas, komoditi yang jarang berlaku di tengah-tengah kekurangan bahan api yang teruk disebabkan oleh cengkaman kumpulan penjenayah di ibu negara Port-au-Prince.
“Susulan kemalangan ini, orang awam mengambil peluang untuk mengumpul gas dengan mengisi bekas sementara menyebabkan letupan dahsyat yang mengorbankan banyak mangsa dan kerosakan teruk,” kata Pengarah Perlindungan Awam Jerry Chandler.
Almonor berkata, kira-kira 40 rumah di kawasan itu turut rosak, namun belum ada maklumat lanjut mengenai kemungkinan mangsa di dalamnya.
Justeru, Hospital Universiti Justinien turut dipenuhi mangsa yang cedera dalam letupan itu.
“Kami tidak mempunyai keupayaan untuk merawat bilangan orang yang melecur teruk.
“Saya takut kita tidak akan dapat menyelamatkan mereka semua,” ujar salah seorang jururawat di hospital berkenaan.
Seorang doktor di hospital memberitahu stesen radio tempatan, Magik9 bahawa dua orang telah meninggal dunia di sana dan 40 pesakit lain cedera parah.
“Mangsa melecur lebih 60 peratus badan mereka,” katanya.
Selepas melawat hospital, Henry berkata, “Dengan hati yang hancur, saya melihat keadaan kritikal beberapa rakan senegara kita.”
Beliau sebelum ini berjanji hospital lapangan akan dikerahkan dengan pantas untuk membantu menjaga mangsa letupan.
Henry yang telah memimpin negara itu sejak Julai selepas Presiden Jovenel Moise dibunuh dalam komplot yang masih misteri mengisytiharkan tempoh berkabung negara berikutan letupan itu. -AFP