KUCHING: Seramai 616 peserta dari kawasan Parlimen P193 Santubong menerima manfaat Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 selepas berjaya memperoleh lesen berkenaan.
Majlis penyerahan program anjuran Parlimen P193 Santubong itu berlangsung di Dewan Juma’ani, Wisma SABATI, hari ini dan disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri.
Nancy yang juga Ahli Parlimen P193 Santubong turut menyerahkan lesen memandu kepada peserta yang berjaya memperoleh Lesen Memandu Kelas B2 selepas melepasi proses tapisan serta mengikuti dan lulus ujian teori dan praktikal yang ditetapkan.

Program berkenaan merupakan antara inisiatif untuk memperkasakan mobiliti rakyat, khususnya golongan yang layak, menerusi peluang mendapatkan lesen memandu pada kadar yang lebih berpatutan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Norizan Jili, turut hadir pada majlis berkenaan.
Menurut JPJ Sarawak, inisiatif seumpama itu diharap dapat terus diperkasakan bagi melahirkan lebih ramai pemandu dan penunggang berlesen yang kompeten serta berdisiplin, selain mengutamakan keselamatan jalan raya.
Usaha berkenaan turut dilihat menyumbang kepada peningkatan kesedaran dan pematuhan terhadap aspek keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya.
Oleh Afiq Sallehi




