SARIKEI: Seramai 600 peserta mengambil bahagian dalam Program Pagi Tanpa Kenderaan Sarikei yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Sarikei (MDS), hari ini.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Menurutnya, jumlah penyertaan kali ini adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada sasaran asal, sekali gus mencerminkan komitmen dan kesedaran masyarakat terhadap gaya hidup sihat serta kelestarian alam sekitar.
“Program ini merupakan langkah proaktif untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap usaha menjadikan Sarikei sebagai bandar rendah karbon.
“Ia juga menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, selain memupuk budaya ‘Go Green’ yang semakin penting dalam era moden,” katanya ketika berucap di majlis tersebut yang berlangsung di pekarangan Dewan Suarah Sarikei.
Tambah beliau, kualiti udara yang baik dan persekitaran bersih bukan sahaja penting untuk kesejahteraan hari ini, tetapi juga demi generasi masa depan.
Tiong Sii turut menegaskan bahawa inisiatif seumpama ini seiring dengan agenda global dalam menangani perubahan iklim dan pencemaran udara.
“Program seperti ini membuka ruang kepada masyarakat untuk lebih aktif secara fizikal, mengeratkan hubungan sosial serta menghargai ruang awam dengan lebih bertanggungjawab,” ujarnya lagi.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan yang menekankan pembangunan hijau, teknologi mesra alam, dan kelestarian alam sekitar.
“Visi Premier Sarawak untuk membangunkan ekonomi hijau menjadi inspirasi kepada pelaksanaan program seperti ini, khususnya di kawasan luar bandar seperti Sarikei.
“Kejayaan program ini bergantung kepada komitmen bersama, bukan hanya penganjur, tetapi juga seluruh masyarakat, agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO),” tambahnya.
Tiong Sii turut menyokong penuh agar program Pagi Tanpa Kenderaan ini dijadikan acara berkala dan diperluaskan dari semasa ke semasa.
“Mudah-mudahan, kesedaran serta amalan gaya hidup rendah karbon dapat disemai dan berkembang dengan lebih meluas di Sarikei,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Residen Sarikei Badjuri Bidin, Pemangku Pegawai Daerah Sarikei Ainur Yazmin, Ketua Polis Daerah Sarikei Superintenden Aswandy Anis, Pengerusi MDS Kaunselor Stephen Wong Kie Yong, Timbalan Pengerusi MDS Kaunselor Misiah Abu Seman, serta Setiausaha MDS Lolita Jaime Nicholas.
Oleh Earl Anek