SARIKEI: Seramai 60 peserta diberi pendedahan mengenai keselamatan kebakaran dan bantuan hayat asas menerusi program yang dikendalikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei di Majlis Daerah Sarikei (MDS), baru-baru ini.
Ketua BBP Sarikei, Vincent Baling berkata, program selama dua jam bermula 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dikendalikan beliau bersama dua anggota bomba.
“Program ini memberi penekanan kepada pengetahuan asas keselamatan kebakaran supaya peserta lebih bersedia mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berhadapan situasi kecemasan.
“Antara pengisian program ialah ceramah keselamatan kebakaran yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek pencegahan dan tindakan yang perlu dilakukan ketika berdepan kebakaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain aspek kebakaran, Vincent berkata, peserta turut diberikan pendedahan mengenai Bantuan Hayat Asas (BLS) sebagai pengetahuan penting dalam menghadapi situasi kecemasan melibatkan mangsa yang memerlukan bantuan segera.
“Program tersebut juga turut mengetengahkan pembelajaran secara praktikal menerusi demonstrasi pemadaman kebakaran menggunakan alat pemadam api.
“Pendedahan secara teori dan praktikal seperti ini penting supaya peserta bukan sahaja mengetahui mengenai keselamatan kebakaran, tetapi mempunyai kefahaman mengenai tindakan awal yang boleh diambil ketika berhadapan kecemasan,” katanya.
Beliau berharap ilmu yang diperoleh menerusi program tersebut dapat dimanfaatkan oleh peserta dalam meningkatkan tahap keselamatan di tempat kerja dan kehidupan seharian.
Oleh Earl Anek



