KIRA-kira 60 tahun lalu, mungkin tiada siapa terfikir untuk memandu kereta dari Sibu ke Kuching dalam tempoh lima, enam jam sahaja. Begitu juga dari Kuching ke Miri atau Bintulu. Malah, tidak terfikir boleh pandu terus melalui darat dari Sibu ke pekan Kapit.
Pada 1969-an hingga awal 1980-an, ada khidmat kapal penumpang dari Kuching ke Sibu-Sarikei dengan perjalanan sepanjang malam hingga subuh. Kini cuma kapal kargo bergerak di lautan dan sungai kerana rangkaian jalan raya sudah ada.
Inilah antara nikmat kemerdekaan dengan terbentang luas Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 786 kilometer, dari Telok Melano ke Miri, kini sudah siap 95 peratus, bernilai RM16.117 bilion meliputi 11 pakej kerja.
Ini kemudian akan disambung pula melalui projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) yang menghubungkan Miri-Limbang-Lawas sepanjang 398 kilometer (km) tanpa melalui negara Brunei, yang dilaksanakan dalam beberapa pakej. Mulai April 2023, kemajuan fizikal untuk SSLR Fasa 1 adalah mengikut jadual 13.63 peratus dan dijangka siap pada Januari 2026.
Yang lebih menggembirakan, andai tiada aral melintang ialah kita tidak lagi menggunakan feri menjelang 2026 apabila pembinaan tujuh jambatan utama siap. Sejumlah RM5 bilion telah diperuntukkan bagi membina projek jambatan di jalan pesisir berkenaan.
Pembinaan tujuh jambatan terbabit ialah Jambatan Paloh dan Batang Lassa di Daro, Jambatan Sungai Krian di Saratok, Jambatan Saribas di Pusa, Jambatan Kemena di Bintulu, dan Jambatan Rambungan di Lundu. Projek jambatan Batang Lupar dengan kos RM848 juta pula dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.
Namun, bukan mudah untuk mencapai kemajuan apatah lagi mencurah pembangunan di negeri hampir seluas seluruh Semenanjung Malaysia, dengan keadaan muka bumi berbukit bukau, hutan belantara dan pesisiran pantai.
Tetapi yang lebih penting ialah keputusan Sarawak bersama Singapura dan Utara Borneo membentuk Malaysia bersama Tanah Melayu berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). Sejak itu, Sarawak melalui pelbagai cabaran mengikut zamannya sendiri.
Kepemimpinan berbeza pendekatan
Sarawak ketika dipimpin Tan Sri Datuk Kalong Ningkan iaitu Ketua Menteri pertama (22 Julai 1963 – 23 September 1966) berdepan konfrontasi Indonesia dan gerakan komunis sehingga pada zaman pemerintahan Penghulu Tawi Sli (23 September 1966 – 7 Julai 1970).
Keadaan mula reda semasa pimpinan Tun Abdul Rahman Yaakub (7 Julai 1970 – 26 Mac 1981) untuk menyatukan seluruh Sarawak di bawah sebuah kerajaan perpaduan Sarawak terutama dengan kejayaan menangani ancaman komunis melalui Perjanjian Damai Sri Aman pada 20 Oktober 1973.
Bong Kee Chok, pemimpin komunis yang menandatangani perjanjian itu, yang membawa kepada peletakan senjata semasa pemberontakan di Sarawak, meninggal dunia Februari lalu pada usia 91 tahun.
Apabila Abdul Taib Mahmud (kini, Tun Pehin Sri dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak) mengambil alih jawatan Ketua Menteri Sarawak keempat pada 1981 (26 Mac 1981 – 28 Februari 2014), beliau membawa era politik pembangunan.
Usahanya tidak kurang hebat dengan keazaman membawa pembangunan ke seluruh pelosok negeri melalui pendekatan politik pembangunan.
Kemudian, masuk era Ketua Kenteri kelima, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem atau Tok Nan (28 Februari 2014 hingga 11 Januari 2017) telah membuka era ke arah usaha mendaulatkan Sarawak melalui tuntutan hak negeri ini.
Hak terhakis
Tok Nan adalah pemimpin pertama Sarawak yang ‘mengetuk’ pintu untuk berunding bagi menuntut hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 tetapi terhakis.
Dari sinilah bermula era mengembalikan segala janji yang dimeterai seperti terkandung dalam MA63 dan IGC. Namun, sayangnya, Tok Nan tidak sempat melihat hasilnya apabila menghembuskan nafas terakhir pada 11 Januari 2017 di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.
Apabila Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (mulai 13 Januari 2017) mengambil alih jawatan Ketua Menteri keenam (kemudian dikenali sebagai Premier Sarawak), legasi Tok Nan untuk memperjuangkan hak Sarawak yang terhakis, diteruskan.
Malah, beberapa perkara dalam MA63 sudah mula dikembalikan seperti berikut:
1. Persetujuan rundingan di antara kerajaan Sarawak dan Petronas melalui Perjanjian Penyelesaian Secara Komersial (CSA)
2. Pengiktirafan hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum;
3. Pengiktirafan hak Sarawak untuk mengawal selia pengagihan gas di Sarawak;
4. Pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7) kepada Perlembagaan Persekutuan, yang telah berkuatkuasa mulai 11 Februari 2022. Ini sekali gus menukar status Sarawak dan Sabah sebagai wilayah, menyebabkan jawatan Ketua Menteri ditukar kepada Premier Sarawak, dan
5. Persetujuan pelantikan wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Tetapi setakat ini masih bersifat pentadbiran, bukan berasaskan perlembagaan kecuali Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta LHDN 1995 di Parlimen dibentang dan diluluskan.
Berikutan penyelesaian No.1, 2 dan 3 diatas, Sarawak sudah meraih pendapatan hasil kutipan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum dan gas sejak diperkenalkan 1 Januari 2019 dan jumlahnya terus meningkat saban tahun.
Difaham, untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, pendapatan Sarawak sudah mencecah RM12 bilion iaitu menyamai pendapatan negeri ini sepanjang tahun lalu.
Malah Sarawak dijangka terus menggandakan hasil melalui dasar hijau diperkenalkan Abang Johari termasuk menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF), diesel dan gasolin (petrol) berasaskan alga atau lumut selain bidang seperti hidrogen dan ammonia.
Abang Johari lebih lagi ke hadapan mengikut perkembangan global dengan memperkenalkan ekonomi digital, tenaga hijau, industri karbon dan memperkenal hak perundangan ruang udara spektrum.
Apakah erti semuanya ini? Inilah nikmat kemerdekaan.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak