KUCHING: Sebanyak 60 permohonan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) yang memenuhi syarat telah mendapat kelulusan bagi kumpulan kedua oleh Jabatan Premier Sarawak pada 30 Mei lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut 31 pemohon dari Bahagian Kuching (iaitu 28 orang dari Daerah Kuching dan empat orang dari Daerah Lundu).
“Daripada jumlah tersebut bagi Bahagian Kuching, seramai enam orang sudah mendapat kelulusan status kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada Majlis Penyerahan DSITKS di Pusat Sokongan Sosial Komuniti, hari ini.
Katanya, bagi Bahagian Serian pula, seramai enam orang pemohon telah diluluskan DSITKS bagi kumpulan kedua (iaitu tiga orang dari Daerah Serian, seorang dari Daerah Tebedu dan dua orang dari Daerah Siburan).
“Daripada jumlah tersebut bagi Bahagian Serian, seorang sudah mendapat kelulusan status kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Bagi menjayakan pengeluaran dan pemakaian DSITKS, kementeriannya berkolaborasi dengan Pejabat-Pejabat Residen dan Pejabat Daerah serta agensi-agensi rakan strategik utama iaitu Jabatan Pendaftaran Negara; Jabatan Pendidikan Negeri; Jabatan Kesihatan Negeri; Jabatan Imigresen Malaysia; Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak; dan Unit Pentadbiran di Jabatan Premier Sarawak.
“Kementerian juga bekerjasama dengan semua pihak sehingga ke peringkat akar umbi, terutama sekali Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum, Pejabat Pendidikan Daerah dan Klinik Kesihatan di seluruh Sarawak.
“Melalui intervensi pengeluaran dokumen sementara kepada individu tanpa warganegara ini, Kerajaan Sarawak komited untuk menangani isu sosial yang dihadapi oleh komuniti, khususnya masalah dokumen pengenalan diri, secara bersepadu dan holistik,” katanya lagi.
Selain itu, kementeriannya juga rancak mempertingkatkan kesedaran dan advokasi mengenai isu dokumen pengenalan diri dan permohonan DSITKS melalui 115 siri pelbagai program outreach seperti Randau Pembangunan Sosial, Randau Solidariti Komuniti; Randau Kesejahteraan Komuniti; dan lain-lain program anjuran rakan strategik kementerian pada tahun ini.
Katanya lagi, kementerian juga komited untuk terus menganjur program dan intervensi sosial bersama rakan-rakan strategik bagi member kesedaran dan khidmat nasihat tentang kepentingan mendaftar perkahwinan secara teratur dan keperluan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Oleh NUR AIN OTSMAN