


BINTULU: Sebanyak 60 pek bantuan makanan dengan berat 1,020 kilogram telah dihantar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu kepada penduduk terjejas banjir di Kampung Melayu, Labang Sebauh di sini, hari ini.
Menurut jurucakap JBPM Sarawak, penghantaran bantuan berkenaan dilaksanakan pada 11.00 pagi sebagai sebahagian daripada operasi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di kawasan Sebauh.
Bantuan makanan tersebut dihantar bermula dari Jeti Sebauh ke kawasan terputus jalan akibat banjir menggunakan sebuah bot.
Operasi penghantaran melibatkan seramai tujuh anggota BBP Bintulu dengan PBK I Eric Wilson bertindak sebagai Komander Operasi.
JBPM Sarawak memaklumkan, operasi penghantaran bantuan akan diteruskan dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa di kawasan terjejas.
Usaha berterusan itu bertujuan memastikan kebajikan mangsa banjir sentiasa diberi perhatian serta bantuan dapat disalurkan dengan selamat dan berkesan.
Oleh Carolyne Utih