
RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya enam maut manakala 45 lagi cedera apabila sebuah bas terbalik di lebuh raya persekutuan di negeri Sao Paulo, tenggara Brazil, pada awal pagi Isnin, lapor Xinhua.
Menurut Polis Lebuh Raya Persekutuan Brazil, bas yang melalui lebuh raya persekutuan BR-153 itu membawa pekerja luar bandar apabila satu daripada tayarnya meletup.
Kejadian tersebut menyebabkan pemandu hilang kawalan ke atas kenderaan berkenaan sebelum bas itu terbabas dan terbalik.
Pihak polis memaklumkan semua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Difahamkan, penumpang berkenaan berlepas dari negeri Maranhao di timur laut Brazil dan menuju ke negeri Santa Catarina di selatan bagi musim menuai epal.
Sementara itu, Sekretariat Keselamatan Awam Negeri Sao Paulo dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Polis Sivil sedang mengenal pasti mangsa serta individu lain yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Menurut kenyataan sama, syarikat bas terbabit telah dikenal pasti, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. – Bernama