KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak memutuskan, enam daerah di negeri ini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 13 hingga 26 Januari ini, selepas mencatatkan 153 kes baharu Covid-19 semalam.
Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, PKPB yang dikuatkuasakan bermula tepat 12.00 tengah malam itu dilaksanakan setelah tiga zon di negeri ini terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19.
Semalam Sarawak mencatatkan kes tertinggi dengan 153 kes positif dan menjadikan jumlah kes keseluruhan meningkat kepada 1,428 kes.
Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, tiga zon yang dinyatakan ialah Zon Kuching yang melibatkan tiga daerah iaitu Daerah Kuching, Kota Samarahan dan Serian, zon Sibu yang melibatkan Daerah Sibu dan Sarikei dan yang ketiga ialah zon Miri.
“Bagi Zon Kuching, ketiga-tiga daerah ini disatukan di dalam satu zon adalah kerana pergerakan antara ketiga-tiga daerah ini adalah kerap kerana ramai penduduk di Kota Samarahan dan Serian bekerja di Kuching.
“Begitu juga dengan penduduk di Kuching yang bekerja di Samarahan dan penyatuan ini akan memudahkan kawalan pergerakan masuk dan keluar antara ketiga-tiga daerah ini,” katanya.
Prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dikeluarkan semalam oleh JPBNS yang mana akan ada penyesuaian baharu mengenai waktu operasi yang dibenarkan.
“Pergerakan rentas ke zon merah yang dalam pelaksanaan PKPB dalam negeri Sarawak juga tidak dibenarkan melainkan mendapat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita terpaksa melaksanakan PKPB demi memutuskan rantaian kes Covid-19 di Sarawak dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga telah bersetuju untuk melaksanakan PKPB di beberapa tempat yang terjejas,” jelasnya.
Menurut Uggah, PKPB adalah satu penyelesaian efektif buat masa ini kerana Sarawak sudah mempunyai pengalaman dan melihat perlaksanaan PKPB berupaya untuk menghentikan penyebaran wabak ini dengan memastikan semua orang untuk kekal berdisiplin.
Beliau juga mengingatkan rakyat untuk duduk di rumah jika tidak mempunyai apa-apa urusan penting di luar dan sentiasa berjaga-jaga kerana kes di Sarawak meningkat secara drastik.
Oleh ASYRAF HALIM