
MIRI: Sebanyak 59 program Jualan Rahmah telah dianjurkan di kawasan Parlimen Miri setakat 2 Ogos 2025.
Ini bersamaan dengan purata tujuh hingga lapan kali sebulan, meningkat berbanding purata empat hingga lima kali sebulan pada 2024.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, ini telah menunjukkan usaha tambahan kerajaan dalam membantu rakyat.
Menurut beliau, dalam pengumuman oleh Perdana Menteri pada 23 Julai lalu, antara inisiatif yang diumumkan termasuk pemberian bantuan tunai secara sekali gus (one-off) sebanyak RM100 kepada semua rakyat. Selain itu, harga petrol juga diturunkan kepada RM1.99 selepas pelaksanaan subsidi bersasar.
Salah satu manfaat penting yang turut diumumkan ialah peruntukan bagi penganjuran Jualan Rahmah di seluruh negara telah digandakan daripada RM300 juta kepada RM600 juta.
“Selepas peruntukan ini diturunkan dan diperhalusi dari segi pelaksanaannya, saya berharap secara purata kita boleh mencapai 12 kali sebulan untuk adakan jualan rahmah, atau dengan purata tiga kali seminggu.
“Sekiranya sasaran ini dapat tercapai dan dilaksanakan dengan baik, saya percaya ini sekali lagi dapat membantu rakyat untuk mengurangkan kos hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan program Jualan Rahmah yang diadakan di Surau Darul Falah yang dianjurkan dengan kerjasama Emart Supermarket Riam di sini, semalam.
Program Jualan Rahmah Madani merupakan salah satu inisiatif di bawah Payung Rahmah yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan rakyat.
Melalui program ini, pelbagai barangan keperluan harian seperti beras, telur, ayam, tepung, minyak masak, tepung susu, dan lain-lain lagi ditawarkan pada harga istimewa dengan diskaun sehingga 30 peratus.
Bagi program jualan rahmah yang dianjurkan di Surau Darul Falah, sebanyak 19 barang telah dijual dengan harga subsidi.
“Sesungguhnya program ini dapat mengurangkan kos sara hidup dan memberi peluang kepada penduduk setempat mendapatkan barangan keperluan dengan lebih murah dan mudah.
” Selain itu, kedai yang bekerjasama untuk menganjurkan jualan rahmah ini juga akan mengadakan promosi jualan ke atas produk lain bagi menambah manfaat kepada rakyat,” tambahnya.
Oleh Liong Chai Ling