
BELGRADE: Angka korban dalam kebakaran di sebuah kelab di Bandar Kocani, Macedonia Utara meningkat kepada 59 orang, manakala 155 lagi cedera, kata Menteri Dalam Negeri Pance Toskovski hari ini, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut agensi berita MIA yang dikendalikan kerajaan, kebakaran berlaku ketika konsert kumpulan muzik DNK di Kelab Pulse sekitar 3.00 pagi waktu tempatan (0200 GMT), dipercayai berpunca daripada penggunaan bunga api. Sekitar 1,500 orang menghadiri acara itu.
“Setakat 11.30 malam waktu tempatan (12.30 GMT), seramai 59 orang disahkan maut, dengan 35 daripadanya telah dikenal pasti. Seramai 31 mangsa berasal dari Kocani, manakala empat lagi dari Bandar Stip. Jumlah mangsa cedera setakat tengah malam adalah 155 orang,” katanya kepada pemberita.
Siasatan sedang dijalankan, dengan empat individu ditahan berkaitan penganjuran acara itu, kata Toskovski sambil menambah anggota kumpulan muzik berkenaan turut dipanggil untuk membantu siasatan.
Kementerian Kesihatan Macedonia sebelum ini melaporkan bahawa 152 mangsa kebakaran masih menerima rawatan di hospital, termasuk 18 dalam keadaan kritikal. Pengarah Hospital Kocani, Dr Kristina Serafimova, memaklumkan bahawa mangsa yang maut berusia antara 14 hingga 27 tahun.– BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI